Panasnya Hari Ini

Tiada Kerajaan Campuran Pas-UMNO Sebelum PRU15

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan tiada kerajaan campuran atau perpaduan akan diwujudkan oleh Pas dan UMNO sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, kedua-dua parti komited untuk memulakan ta’awun siyasi iaitu bekerjasama dan menyifatkan terlalu awal untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Jelasnya, pelbagai perkara boleh terjadi sebelum pilihan raya umum akan datang memetik laporan Sinar Harian.

“Terlalu awal (untuk) kita boleh laksanakan sebab kerajaan Pusat lain, kerajaan negeri lain. Yang penting adalah ta’awun siyasi. Ta’awun dalam istilahnya adalah bekerjasama bukannya bergabung.

“Ta’awun adalah kerajaan yang bekerjasama. Kita lebih selesa dan kita tidak terlalu cepat nak jadi (kerajaan campuran)… tengok perkembangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila hari ini.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu akan terlaksana selepas PRU15.

“Kita akan lihat pada pilihan raya, boleh jadi kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan. Macam-macam boleh jadi. Semuanya melihat kepada perkembangan pilihan raya.

“Pasal apa? Sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku sebelum pilihan raya, Wallahua’lam. Ia boleh berlaku kerana dalam politik tidak mustahil.

“Sering kali dalam politik, berlaku lain daripada yang kita ramalkan. Itu kita boleh buat ramalan sahaja,” katanya.

Mengenai penerimaan rakyat akar umbi terhadap Piagam Muafakat Nasional, beliau berkata, akar umbi sangat positif malah proaktif dengan pemeteraian perjanjian antara Pas dan UMNO.

Jelasnya, aktiviti di peringkat akar umbi juga sudah berlaku dengan pesat mendahului piagam itu, menunjukkan penerimaan ahli kedua-dua parti.

“Apa yang penting kepada kita adalah kehidupan dalam masyarakat yang bersatu padu, khususnya dalam kalangan orang Islam.

“Pada masa yang sama, mengambil kira masyarakat majmuk. Itu hasrat kerjasama yang kita meteraikan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");