Berita Hari Ini

Tiada Rakyat Yang Terpinggir – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membangunkan semua lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada rakyat terpinggir sama ada di Kapit, Sarawak mahupun Manek Urai di Kuala Krai, Kelantan.

Katanya, ini sejajar pendekatan kerajaan yang mengutamakan semua kaum dan melaksana dasar ekonomi berlandaskan keperluan semua rakyat.

Beliau berkata, kerajaan juga bekerja keras mempromosi keharmonian semua kaum untuk memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati bersama.

“Keharmonian membolehkan kerajaan memajukan negara, menarik pelancong dan pelabur yang dengan sendirinya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya berucap pada majlis Anugerah BrandLaureate di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Pada majlis itu, Presiden BrandLaureate, Dr KK Johan dianugerahkan Raja Penjenamaan BrandLaureate.

Pereka fesyen, Prof Datuk Dr Jimmy Choo pula menerima Anugerah Legenda Fesyen BrandLaureate.

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pula antara penerima Anugerah Kepimpinan Halal Dunia BrandLaureate menerusi syarikatnya, Simply SS Trading Sdn Bhd.

Anwar yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, berkata dari segi pendidikan, semua lapisan masyarakat turut memperoleh peluang sama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun dan semua kaum menikmati pendidikan sempurna.

Katanya, pendidikan sempurna membolehkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar dapat dirapatkan.

“Anak Melayu adalah anak Malaysia begitu juga Iban di Sarawak dan Kadazandusun di Sabah. Kita adalah satu keluarga yang mempunyai semangat sama sebagai anak Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");