Perak Hari Ini

Timbalan Ketua Polis Perak Seru Anggota Jaga Nilai Integriti

IPOH: Warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perak diseru untuk menjauhi sebarang perbuatan salah laku sebaliknya sentiasa menjaga tahap nilai integriti masing-masing supaya sebarang aktiviti jenayah dapat dihapuskan dengan berkesan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata isu integriti perlu dititikberatkan supaya ia akan mampu terus mendapat kepercayaan daripada kerajaan dan masyarakat terhadap PDRM Perak.

“Warga PDRM Perak perlu bijak menguruskan tugas dan tanggungjawab mereka agar tidak sesekali terjebak dengan perbuatan salah laku rasuah dan salah guna kuasa.

“Setiap ketua jabatan dan ketua formasi juga digesa untuk lebih komited mengawal dan memantau perkara ini bagi memastikan warga PDRM Perak sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya.

Tambahnya kegagalan dalam melaksanakan kawalan terhadap pegawai yang diselai akan mengakibatkan organisasi PDRM dipandang rendah serta dipersoalkan oleh masyarakat.

Selain itu, katanya isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis juga merupakan perkara yang perlu dipandang serius.

“Berdasarkan statistik ujian saringan awal air kencing bermula Januari hingga Ogos 2019, seramai 38 Warga PDRM Perak telah dikesan positif dadah.

“Walaupun angka itu kecil berbanding jumlah keseluruhan warga PDRM Perak, namun sekiranya ia tidak dicegah, ia bimbang akan merosakkan institusi PDRM itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Hong Shuan turut menyeru semua anggota dan para pegawai polis untuk menyahut seruan Ketua Polis Negara iaitu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman negara dan keharmonian masyarakat.

Katanya, sebagai anggota polis mereka seharusnya memberi fokus kepada tugas masing-masing dalam menguatkuasakan undang-undang negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Pada majlis yang dihadiri sekitar 200 anggota, pegawai dan kakitangan IPK Perak itu, seramai 73 warga PDRM negeri telah menerima surat penghargaan yang disampaikan Hong Shuan , atas pencapaian perkhidmatan terbaik masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");