Panasnya Hari Ini

‘Token Untuk Duit Petrol, Makan Program Konvoi Merdeka’

Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Shah Alam Muhamad Idris berkata dakwaan pemberian token untuk ahli menghadiri program merupakan ‘fitnah jahat’ untuk memutar belit fakta.

Jelas Idris, dalam kenyataan yang dipanjangkan kepada Malaysiakini oleh Timbalan Ketua AMK Hilman Idham, pemberian token sebanyak RM20 adalah untuk “duit petrol dan makan” anggota AMK Shah Alam yang menyertai program konvoi Merdeka, dan bukannya majlis Perasmian Perdana AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor seperti didakwa.

“Untuk makluman, dua program berikut adalah berlainan hari, tarikh dan masa. Bagi program konvoi Merdeka, pihak penganjur telah memohon bantuan melalui Ketua Cabang PKR Shah Alam untuk memenuhi dan menjayakan program ini kerana sambutan kurang memuaskan.

“Dengan rasa hormat kepada ketua cabang, kami telah berjaya mengumpulkan 60 orang anggota AMK Shah Alam untuk sertai program konvoi ini. Malangnya kami menerima fitnah jahat setelah tangan dihulur untuk membantu. Kami sangat kecewa.

“Berkaitan token RM20 itu adalah untuk anggota AMK Shah Alam yang menyertai konvoi ini (konvoi merdeka) bagi tujuan petrol dan makan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muhammad Idris, program konvoi itu akhirnya tidak diteruskan susulan dakwaan berhubung pemberian token itu.

“(Ketua AMK Shah Alam) SP Sarawanan dan saya telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan program konvoi ini kerana sikap tidak profesional dari segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Ketua AMK Selangor Najwan Halimi mengingatkan bahawa pemberian token untuk menggalakkan ahli parti terlibat dalam program yang dianjurkan bukan budaya PKR.

Najwan berkata demikian mengulas dakwaan yang mengatakan majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan AMK Muafakat Cabang Negeri Selangor, yang akan diadakan esok.

Najwan yang juga merupakan Adun Kota Anggerik mengakui turut menerima mesej yang sama berhubung pemberian token berkenaan.

Sementara itu, kenyataan yang dipanjangkan Hilman kepada Malaysiakini itu turut mendakwa rata-rata anggota AMK yang mahu menyertai program konvoi berkenaan adalah dari sekitar DUN Kota Anggerik.

“Rata-rata anggota AMK ini adalah dari sekitar DUN Kota Anggerik yang tidak pernah dipedulikan dan diberi perhatian oleh Adun Kawasan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");