Berita Hari Ini

TPM: Melayu, Cina Atau India, Jenayah Tetap Jenayah

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa keadilan harus ditegakkan tanpa mengira kaum orang yang melakukan kesalahan.

“Jenayah tetap jenayah, tidak kira Melayu, Cina atau India,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah koroner yang menyiasat kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Kata Wan Azizah insiden yang menimpa Muhammad Adib tidak melibatkan isu perkauman.

Beliau juga berharap kejadian itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Ia (kes kematian Adib) bukan kes rasisme, justeru kalau salah, sesiapa pun dia tetap salah. Kita mahukan keadilan.

“Jangan juga kita politikkan isu Adib dan menghasut agar menjadi satu isu perkauman,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Rahmah 2019 (KR19) di Dataran Putrajaya hari ini.

Mahkamah koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib, 24, sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib yang telah cedera parah akibat serangan tersebut disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Dis 2018.

Sementara itu, mengulas berkenaan program KR19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, berkata acara diadakan meliputi aktiviti yang bersesuaian kepada semua kaum.

“Acara program bukan eksklusif tetapi terbuka untuk dihadiri semua kaum.

“Ini kerana kita mahu masyarakat bersuara dengan lebih kuat untuk memupuk keharmonian berbanding menyuarakan perkauman,” katanya.

Karnival yang bakal diadakan mulai hari ini sehingga Ahad merupakan anjuran Jabatan Perdana Menteri dibawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");