Panasnya Hari Ini

UMNO, PAS Perlu Elak Saling Bersaing

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS yang menandatangani Piagam Muafakat Nasional hari ini, perlu berazam untuk mengelak daripada bertelingkah dan bersaing sesama sendiri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama politik kedua-dua parti yang bermatlamat memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang juga perlu bebas daripada hasad dengki, khianat dan iri hati.

Jika UMNO dan PAS mahu mengembalikan semula kepemimpinan Melayu dalam pentadbiran negara bersama kaum lain, beliau berkata, kedua-dua parti perlu berbincang mengikut ajaran agama seandainya wujud perbezaan pendapat dalam sebarang urusan.

“Marilah kita berazam tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah serta berbalah sama sendiri.

“Kita berazam bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam. Kita juga berazam akan bersama mendepani halangan, cabaran luaran dan dalaman, demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Marilah kita berazam tidak mengenepikan sesama kita dalam apa saja keadaan. Seandainya ada perbezaan pandangan, pendapat dan kehendak, ia perlu dirujuk secara musyawarah berlandaskan sumber hukum, nas al-Quran, hadis, qias dan ijmak ulama,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin kanan kedua-dua parti.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, piagam berkenaan perlu memenuhi enam hasrat utama iaitu berasaskan akidah, memenuhi agenda besar, menjamin permuafakatan, mengelak pergeseran, kembali kepada tonggak kepemimpinan dan ia perlu berkekalan.

“Permuafakatan ini berlandaskan akidah, keimanan dan keikhlasan sebagai paksi memperkukuhkan kebersamaan kita. Ia bukan semata-mata agenda politik.

“Permuafakatan ini juga bertujuan mewujudkan kedamaian, keharmonian, dan pembelaan nasib rakyat dengan menawarkan pelbagai dasar alternatif, semak dan imbang, hala tuju yang lebih pragmatik, realistik serta mampan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan itu juga bertujuan menjaga dan menjamin hak semua kaum serta bangsa berasaskan Perlembagaan dan kontrak sosial.

Apa yang penting, katanya, kerjasama politik UMNO dan PAS adalah ke arah membawa semula kepemimpinan Melayu bersama kaum lain untuk menerajui masyarakat majmuk dalam negara.

“Kecelaruan pentadbiran kerajaan sekarang, kerana ketiadaan tonggak kepemimpinan Melayu yang berani dan berwibawa.

“Saya pasti UMNO dan PAS boleh menggalas tanggungjawab besar dalam menangani kemelut politik sekarang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");