Perak Hari Ini
Like

Usaha Wujudkan Santuari Gajah Tidak Boleh Dilengahkan – MB Perak

September 8, 2019
411 Views
0 Comments
2 minutes read
Usaha Wujudkan Santuari Gajah Tidak Boleh Dilengahkan – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak berharap agar cadangan bagi mewujudkan sebuah pusat Santuari Gajah Perak ataupun Perak Elephant Sanctuary (PES) di negeri ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh pihak kementerian.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata projek itu harus disegerakan kerana spesies hidupan liar tersebut semakin terancam kesan daripada pembangunan.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan perkara ini secara serius kerana ianya bukan satu perkara yang boleh dilengah-lengahkan lagi.

“Ini kerana dengan himpitan pembangunan, maka hidupan liar kita itu semakin terancam dan Perak amat memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dari segi hal ini,” katanya.

Semalam Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata bahawa cadangan terhadap pembangunan pusat santuari gajah itu akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Pada September tahun lalu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bersama-sama Kerajaan Perak telah bersetuju untuk mewujudkan pusat santuari gajah yang berkeluasan 40 hektar selain menelan belanja sebanyak RM28.8 juta.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata hasil perbincangan tersebut juga kerajaan negeri telah bersetuju bagi menyediakan sebuah kawasan di Daerah Hulu Perak bagi projek tersebut.

“KATS dan Kerajaan Perak dalam perjumpaan kami ketika itu telah bersetuju untuk mengadakan PES dan kerajaan negeri telah menyediakan tempat di Hulu Perak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-33, Persatuan Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama Ahmad Faizal berkata inisiatif Sekretariat Pembangunan Keusahawanan Negeri Perak atau SUPER yang telah dilancarkan pada Jun lalu masih lagi kurang mendapat sambutan khususnya daripada golongan usahawan yang baharu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Pusat sehenti itu hanya digunakan oleh usahawan yang telah berjaya. Buat mereka yang masih baharu dalam bidang ini, dilihat seperti kurang berminat.

“Saya sering sebutkan bahawa peniaga-peniaga kecil ini harus mengambil peluang dalam inisiatif ini supaya ia mampu melonjakkan lagi hasil perniagaan mereka,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.