Perak Hari Ini

Wajib Hentikan Perbuatan Meniup Bara Permusuhan Antara Agama – Sultan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar perbuatan seperti meniupkan ‘bara’ permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah.

Oleh itu, titah Baginda, undang-undang yang sedia ada di negara ini wajar didaulatkan supaya keselamatan nyawa, harta benda, serta rakyat sentiasa terjamim dilindungi.

Sultan Nazrin bertitah, walaupun negara kini berjaya mencapai kemerdekaannya yang ke-62 tahun, namun sejak kebelakangan ini, terdapat cubaan dalam mahu menyemai perasaan kebencian antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat.

 

“Suhu politik dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semakin hari semakin dipanaskan, dan dilakukan oleh pemimpin politik daripada kedua-dua pihak, baik yang menang begitu juga yang tewas.

“Sifat-sifat seperti ‘kaduk menaiki junjung’ dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik, telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan warga.

“Perbuatan ‘mengata dulang paku serpih’ melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara,” titah Baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah yang mana terdapat pelbagai tindakan berbentuk provokasi yang dilakukan secara keterlaluan yang diibaratkan sebagai bom jangka.

“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilaporkan telah dilakukan, antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil, menyebarkan pelbagai bahan fitnah dan penghinaan melalui media sosial, termasuk penghinaan terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW.

“Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilaporkan dilakukan kerana upahan.  Bara perkauman semakin disemarakkan, api permusuhan antara agama semakin dinyalakan.  Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka, yang menantikan masa untuk meletup,” titah Sultan Perak.

Dalam pada itu, Baginda juga menyifatkan tindakan dalam kalangan masyarakat yang tidak mementingkan fakta mahupun kesahihan sesuatu berita juga sebagai satu keadaan yang tidak sihat.

“Setiap insiden, daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah, atau seorang majikan di pejabat, warna baju yang dipakai oleh pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian, dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama.

“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan. Majoriti warga di negara ini  cintakan keamanan. Mereka semakin resah, semakin gelisah, berasa bimbang dan berasa takut.

“Sedarilah! serpihan daripada letupan bom jangka ini, tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah Baginda.

Sultan Perak bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

 

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis itu.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Afifullah Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda,Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Mohd Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");