Sukan Hari Ini

Zidane Tak Panik

MADRID: Zinedine Zidane menegaskan hubungannya dengan Presiden Real Madrid, Florentino Perez sentiasa utuh dan dia gembira dengan kualiti skuad kendaliannya menjelang tempoh akhir jendela perpindahan, Isnin ini.

Real membelanjakan sekitar 300 juta euro (RM1.38 bilion) musim panas ini tetapi pengendali dari Perancis itu tidak dapat menggunakan seorang pun pemain yang baharu dibelinya dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan awal musim ini.

Zidane berharap kelab itu akan membeli Paul Pogba tetapi Manchester United enggan melepaskan pemain berkenaan dan berhasrat menjual Gareth Bale, tetapi pemain kelahiran Wales itu mahu menghormati kontraknya yang berakhir pada 2022.

“Kuasa yang diberikan kepada saya adalah di atas padang,” kata Zidane menjelang pertembungan dengan Villarreal, esok. “Hubungan saya dengan Florentino Perez sentiasa amat baik, dia adalah presiden yang membawa saya ke sini dan saya tidak akan melupakannya.

“Kadang-kala lebih bagus menjelaskan sesuatu perkara dan saya katakan hubungan kami bagus. Saya tidak kisah dengan apa yang orang lain katakan. Apa yang penting adalah kerja saya dan saya sentiasa berpeluang untuk melatih pasukan yang hebat ini.”

Real membeli Eden Hazard dari Chelsea tetapi bintang Belgium itu berdepan kecederaan paha dan tidak akan beraksi sebelum rehat antarabangsa.

Gergasi Sepanyol itu turut membeli Eder Militao, Luka Jovic, Rodrygo dan Ferland Mendy dengan Zidane tidak menolak kemungkinan ada lagi pemain yang akan tiba ke kelab itu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Antara yang dikaitkan ialah penyerang sensasi Brazil, Neymar dari Paris Saint-Germain dan pemain Tottenham, Christian Eriksen dengan pemain Ajax, Donny van de Beek turut dikatakan menjadi sasaran. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");