KUALA LUMPUR: Masalah lambakan kediaman mewah di negara ini adalah tinggalan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan perlu diselesaikan.
Justeru, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berniat menyelesaikan masalah itu untuk memastikan kediaman mewah berkenaan terjual menerusi cadangannya membabitkan warga luar termasuk China dan Hong Kong.
Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad, berkata nilai RM100 billion rumah mewah yang tidak terjual itu bukan wujud sekelip mata.
Katanya, sebaliknya ia terkumpul sejak sekian lama kerana kegagalan pentadbiran terdahulu menjalankan tugas dengan bijak dan teliti.
“Setiap kebenaran untuk membina rumah diberikan tanpa kajian impak yang betul dan tanpa penelitian kepada data yang akhirnya mengakibatkan ‘mismatched’ atau salah padan antara keperluan semasa dengan jenis rumah dibina.
Sebelum ini Zuraida mencadangkan untuk menarik pembeli dari luar negara termasuk China dan Hong Kong untuk membeli kediaman mewah tidak terjual itu yang dianggarkan bernilai RM100 bilion.
Najib kemudian menyindir Zuraida sama ada beliau menteri Malaysia atau Hong Kong dan China apabila berhasrat berbuat demikian.
Nor Hizwan berkata cadangan Zuraida itu akan dilakukan bersekali dengan program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dimulakan sejak tahun 2002.
Katanya, Zuraida bukan bertindak sebagai Menteri Perumahan Hong Kong atau China apabila mengutarakan cadangan itu, sebaliknya sekadar menteri dan warganegara bertanggungjawab yang berusaha memastikan tidak bertambah lagi projek gajah putih.
“Cadangan itu sebagai mencari jalan keluar kepada bencana yang ditinggalkan pentadbiran Najib terdahulu,” katanya.
Nor Hizwan berkata, beliau percaya sekiranya rumah mewah yang siap itu terjual, pihak pemaju hartanah terbabit dapat mencairkan modal mereka dan kemudiannya boleh mengambil bahagian dalam membina rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.
Katanya, langkah itu juga dapat menarik aliran masuk wang ke dalam negara dan membantu pemindahan teknologi serta kepakaran ekspatriat yang masuk dengan kawalan melalui program MM2H.
“Ia adalah congakan ekonomi mudah yang Najib gagal fahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.