Perak Hari Ini

2 Individu Terlibat LTTE Didakwa Di Perak

KUALA KANGSAR- Seorang juruteknik kilang dan pemandu teksi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar kerana terlibat dengan Kumpulan Barisan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tertuduh S. Arivainthan, 27 dan V. Balamurugan, 37 di dakwa di atas pertuduhan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu Majlis pada 28 Disember 2014 jam lebih kurang 6.30 petang sehingga 11.45 malam di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan jika disabitkan dengan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga puluh tahun atau penalti dan hendaklah dirampas apa-apa harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

S. Arivainthan

V. Balamurugan
Sementara itu, Balamurugan turut menghadapi tiga pertuduhan lain iaitu memiliki barang yang berunsur keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 warna biru pada 10 Oktober 2019 jam lebih kurang 9.40 pagi bertempat di Perkarangan Stesen Teksi, Sungai Siput.

Pertuduhan seterusnya adalah memiliki barangan yang berunsur keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE serta mempamerkan barang yang berunsur keganasan atau berkaitan dengan kumpulan berkenaan di sebuah rumah di Taman Bukit Medan pada 10 Oktober 2019 jam lebih kurang 9.50 pagi.

Pertuduhan berkenaan dibacakan di bawah Seksyen 130JB (1) (a) dan Seksyen 130JB (1) (b) Kanun Keseksaan jika disabitkan dengan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucutkan hakkan mana-mana barang itu.
Kedua-dua tertuduh tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh pertama Arivainthan diwakili oleh peguam RSN Rayer manakala Balamurugan diwakili oleh peguam Matthews Jude dan Farhan Fadzil.

Terdahulu, pihak pembelaan merayu agar mahkamah membenarkan pihaknya mengemukakan rayuan kepada mahkamah bagi mendapatkan ikat jamin kepada anak guam mereka.

Katanya, tiada kenyataan atau izin dari pihak pendakwa raya yang menyatakan pertuduhan berkenaan yang mewajibkan merujuk kepada mana-mana Seksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesalah tertuduh kerana membabitkan jenayah keselamatan.

Rayer ketika ditemui media memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh secepat mungking bagi membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.

Hakim, Rohaida Ishak menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, 10 lagi individu turut dibicarakan hari ini di seluruh negara sejak ditahan pada 10 dan 12 Okt lalu, susulan operasi ke atas penyokong LTTE yang didakwa cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");