Perak Hari Ini

A Asmadi Mula Tugas Sebagai Ketua Polis Ipoh

IPOH: Bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah yang telah memangku jawatan tersebut sejak Ogos lalu.

Pada masa sama, turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ipoh antara Norlima Abdullah dengan Adura Mohamed dengan disaksikan Pengerusi Perkep Perak, Datin Zainah Othman.

A Asmadi, 53 dalam ucapannya berkata beliau menzahirkan harapan agar dengan pelantikan jawatan tersebut dapat memberi momentum baharu kepada semua pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Jika dahulu saya biasa mengadakan hari bertemu pelanggan pada setiap hari Jumaat.

“Ini supaya orang awam dapat terus menyalurkan sebarang maklumat kepada saya terhadap sebarang masalah yang timbul dalam tempoh seminggu dan ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain .

Mengulas lanjut kepada pemberita, A Asmadi berkata hari bertemu pelanggan tersebut dijangka dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi di IPD Ipoh.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 28 tahun.

Selain sebagai Ketua Polis Daerah Alor Gajah, A Asmadi juga pernah berkhidmat antaranya dalam unit trafik di Kuala Lumpur, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman dan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

Beliau juga merupakan Pensyarah Undang-undang di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");