Berita Hari Ini

Ada VIP Hobinya Jadi Pemburu Haram – KPN

KUALA LUMPUR: Golongan kenamaan (VIP) antara kumpulan dipercayai terbabit dalam kegiatan pemburuan haram hidupan liar sebagai hobi.

Mendedahkan kegiatan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya menerima maklumat golongan VIP itu terbabit bukan saja memburu hidupan liar, malah spesis yang terancam.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara itu malah beliau turut memberi amaran tindakan keras akan diambil jika golongan berkenaan ditahan.

“Jika identiti mereka sudah dikenal pasti, polis tidak akan teragak-agak untuk merampas senjata api mereka dan jika ditahan ketika menjalankan aktiviti itu mereka tidak akan terlepas daripada pendakwaan.

“Justeru, saya nasihatkan supaya golongan ini (VIP) menyahut seruan ini dan menghentikan aktiviti berkenaan bagi menyelamatkan hidupan flora dan fauna yang ada di negara,” katanya pada sidang media Ops Khazanah di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 anggota dikerahkan bagi menjalankan Ops Bersepadu Khazanah di hutan negara.

Serius bagi menangani isu pembalakan dan pemburu haram, Abdul Hamid turut memberi kebenaran kepada anggotanya untuk melepaskan tembakan jika kumpulan itu bertindak agresif sama ada mencederakan atau menyebabkan kematian kepada pihak berkuasa.

“Kita juga sudah mencadangkan hukuman lebih berat dengan menambah hukuman sebat mandatori terhadap pemburu haram yang didapati bersalah,” katanya.

Beliau juga berharap hukuman sebat ini diluluskan dan dibentang di parlimen kerana ia akan menakutkan dan menghindarkan pemburu haram meneruskan perbuatan kejam berkenaan.

Isu pemburuan haram ke atas binatang liar menarik perhatian ramai sebelum ini apabila dua ekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan tembakan di Sabah masing-masing pada 17 Oktober dan 25 September lalu.

Gading gajah itu pula didapati hilang dipercayai membabitkan perbuatan pemburu haram.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");