Perak Hari Ini

Agensi Perumahan Negeri Perlu Lebih Proaktif, Mudahkan Urusan Projek Perumahan – MB Perak

IPOH: Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) yang dilancarkan pada awal tahun ini mendapat respons yang baik khususnya dalam kalangan pemaju perumahan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Malah katanya mereka turut mengesyorkan kepada kerajaan negeri lain untuk melaksanakan inisiatif sama yang dilihat mampu menurunkan harga rumah sehingga kadar lima peratus.

Walau bagaimanapun katanya masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dalam dasar tersebut seperti dalam urusan mendapatkan kelulusan kebenaran merancang, proses permohonan ukur dan sebagainya.

Katanya terdapat pihak pemaju yang mengadu bahawa proses-proses tersebut agak memakan masa untuk disiapkan dan kerajaan negeri akan berusaha untuk mempercepatkan serta memudahkan kesemua urusan tersebut.

Justeru ujar beliau, agensi seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) perlu lebih proaktif untuk membantu sesuatu projek perumahan itu dapat berjalan dengan lancar.

“Pada masa kini, setiap pemaju perlu ke pejabat majlis untuk berurusan dengan hal tersebut dan ia mengambil masa untuk mendapatkan maklum balas sama ada mendapat kelulusan atau tidak.

“Saya telah meminta para pegawai dan dalam perbincangan bersama Yang Dipertua Majlis juga, saya meminta mereka mengambil langkah proaktif jika sesuatu permohonan yang diterima itu, sekiranya memerlukan maklumat tambahan atau pengesahan lanjut, jangan tunggu untuk pemaju datang ke pejabat.

“Dalam dunia serba canggih ini, kita boleh menghubungi para pemaju dengan pelbagai cara. Ada pemaju yang sudah menghantar permohonan dan menunggu keputusan permohonannya itu agak lama.

“Saya minta jangan pihak agensi tunggu pemaju untuk buat follow up atau susulan. Jika ada kekurangan maklumat, segera hubungi mereka,” katanya.

Dalam pada itu ujar Menteri Besar, di dalam DPNP, kerajaan negeri juga telah mengkaji dasar berkenaan pemilikan rumah oleh warganegara asing.

Jelas beliau penetapan paras harga minimum bagi perolehan hartanah untuk warganegara asing telah dibahagikan kepada zon-zon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Difahamkan ia terbahagi kepada tiga zon iaitu Zon 1 melibatkan Majlis Bandaraya Ipoh, Zon 2 melibatkan Majlis Perbandaran Manjung, Taiping dan Teluk Intan, manakala Zon 3 melibatkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kerian, Batu Gajah, Perak Tengah, Kampar dan Tapah.

Bagi kategori kediaman, harga minimum bagi Zon 1 ialah sekitar RM 900,000 sehingga RM 1juta, Zon 2 sekitar RM 800,000 hingga RM900,000 dan Zon 3 sekitar RM650,000 sehingga RM800,000.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pemberita pada majlis Lawatan Tapak Projek Perumahan Klebang Putra dan Meru Perdana di Chemor, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat MK Land Holdings Berhad (MKLHB) Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal memuji usaha pihak pemaju seperti MKLHB dalam membantu kerajaan negeri bagi usaha menyediakan rumah mampu milik dan mesra milik di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");