Panasnya Hari Ini

Anwar Nafi Hubungan Dengan Dr Mahathir Terjejas

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan hubungan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad terjejas susulan tiada kepastian dalam isu tarikh mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Memetik laporan BH Online, Anwar yang juga Presiden PKR, berkata perselisihan pendapat membabitkan beberapa pengikutnya dengan pengikut Dr Mahathir sejak kebelakangan ini adalah perkara biasa serta tidak perlu diperbesarkan.

“Kadang-kadang budak (pengikut) saya melenting dalam isu jawatan Perdana Menteri dan kadang-kadang pengikut Dr Mahathir pun (melenting), itu biasalah, tetapi kita yang tua tidak perlu terikut.

“Saya sudah 20 tahun menunggu untuk menjadi Perdana Menteri, itu bukan masalah. Sekarang semua sokong Dr Mahathir dan saya pun sokong (Dr Mahathir).

“Kita mengamalkan keterbukaan, bukan seperti UMNO yang melarang ahlinya melontarkan kritikan berhubung sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tamu Program Dialog Bersama Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui pemberita, berkata tarikh sama ada beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mei 2020 atau sebaliknya akan dibincangkan kemudian.

“Ia menjadi masalah apabila kita tidak ambil secara keseluruhan kenyataan Dr Mahathir berhubung perkara ini

“Dr Mahathir jelas mengatakan beliau berpegang kepada janji yang dibuat untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri ini,” katanya.

Pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, minggu lalu, Dr Mahathir menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada Jun lalu, dalam wawancara bersama wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan pendirian bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh tiga tahun.

Mandat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023, sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan pada atau sebelum itu.

Perjanjian bersama antara pemimpin parti komponen PH juga menyatakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim, pada tarikh yang belum diketahui.

Bagaimanapun pada minggu lalu, Anwar memberitahu Bloomberg Television bahawa beliau menjangkakan mengambil alih tampuk pentadbiran negara sekitar tahun depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");