Perak Hari Ini

Bajet 2020: Perak Cadang Sebahagian Peruntukan Bangunkan Bas Elektrik

IPOH- Kerajaan negeri Perak menyokong penuh inisiatif mendaya-upayakan rakyat melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan menerusi pembentangan Bajet 2020, semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Inisiatif #MalaysiaKerja dengan peruntukan besar RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun dalam bentuk insentif gaji untuk pekerja dan insentif pengambilan pekerja untuk majikan akan mencipta 350,000 pekerjaan tambahan untuk rakyat Malaysia adalah langkah yang tepat.

“Inisiatif GraduanKerja, WanitaKerja, WatanKerja dan PerantisKerja adalah pendekatan yang amat dialu-alukan dalam menangani isu penggangguran termasuk di kalangan graduan dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing yang tidak terlatih,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pembentangan Bajet 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tambah beliau, langkah tersebut amat bertepatan untuk mengeluarkan Malaysia daripada terus terperangkap dalam status negara membangun.

“Kerajaan negeri menyambut baik semua perancangan yang akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama berdasarkan keperluan, selari dengan semangat Malaysia Baharu,” katanya.

Dalam pada itu kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga akan berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan sebahagian daripada peruntukan RM450 juta bagi menyediakan bas elektrik untuk pengangkutan awam di Bandaraya Ipoh dan bandar-bandar lain di negeri ini.

“Perkara tersebut merupakan pelengkap kepada rancangan membangunkan kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.

“Semua projek infrastruktur pengangkutan awam ini bakal menjadi katalis dalam memacu pembangunan ekonomi negeri Perak dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga menyambut baik langkah PERKESO untuk membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos sebanyak RM500 juta di mana bakal dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan.

Ulas beliau lagi, kerajaan negeri amat menghargai peruntukan RM20 juta untuk melantik renjer dari kalangan askar yang telah bersara dan masyarakat Orang Asli setempat bagi melindungi flora dan fauna serta peruntukan RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya Orang Asli.

“Pastinya inisiatif ini akan membantu usaha kerajaan negeri membela nasib lebih 65,000 populasi komuniti Orang Asli di negeri Perak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");