Berita Hari Ini
Like

Banjir: 145 Penduduk Baling Dipindahkan

October 9, 2019
187 Views
0 Comments
1 minute read
Banjir: 145 Penduduk Baling Dipindahkan

ALOR SETAR – Seramai 145 penduduk melibatkan 49 keluarga di daerah Baling dipindahkan setakat jam 6 pagi tadi ke dua pusat pemindahan di daerah tersebut.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu masing-masing di Dewan Tun Razak (lama) dan Kompleks Sukan Batu 42.

Menurutnya, kesemua mangsa dipindahkan itu terdiri daripada penduduk dari Kampung Tanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Pantai.

“Kawasan ini mengalami hujan lebat serta angin kuat sejak jam 6 petang semalam yang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah sehingga 1 meter.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga melaporkan bacaan paras air di Rumah Pam Pulai berada pada paras bahaya iaitu 50.75 meter,” katanya melalui suatu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Izrin berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan awal berupa kelengkapan diri kepada mangsa seperti selimut, kain batik, kain pelikat dan lain-lain barangan untuk kegunaan mereka di pusat pemindahan.

“Beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi menyelamat mangsa di ketiga-ketiga kampung terbabit antaranya anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Pejabat Parlimen Baling,” katanya.

Ahad lalu,  seramai 38 mangsa daripada 17 keluarga di daerah ini turut dipindahkan ke pusat pemindahan di Kampung Seri Ketengga dan Kampung Batu 8, Mukim Siong berikutan air naik selepas hujan tanpa henti selama lebih tiga jam.

Anggota bomba membantu memindahkan barangan peribadi penduduk ke pusat pemindahan lapor Sinar Harian.

Komen & Pendapat

Comments are closed.