Berita Hari Ini

Belanjawan 2020 Wajar Beri Tumpuan Pada Pembangunan Asas Orang Asli

KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) berharap kerajaan akan menumpukan kepada pembangunan asas membabitkan masyarakat pribumi di negara ini dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Pengerusinya, Tijah Yok Chopil, berkata projek pembangunan asas seperti menyediakan kemudahan air bersih, menaik taraf klinik desa dan membaiki jalan raya harus diberi keutamaan selain penyediaan benih dan baja supaya masyarakat itu dapat bertani bagi menjana pendapatan.

“Tumpukan pada belanjawan pembangunan sebab pembangunan Orang Asli masih jauh ketinggalan, banyak kampung jalannya rosak, tiada jalan tar, projek terbengkalai dan sebagainya.

“Program seperti sukaneka dan motivasi yang dianjurkan sebelum ini harus dihentikan, ia bukan tidak bagus tetapi dengan keadaan ekonomi negara sekarang, kita harus tumpu kepada pembangunan asas Orang Asli dulu,” katanya kepada Bernama.

Tijah turut mencadangkan badan khusus ditubuhkan bagi memantau peruntukan kepada Orang Asli tahun hadapan supaya ia dapat ditadbir urus dengan baik.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), Clive Allen Williams Hunt, berkata bagi memastikan pembangunan yang harmoni dalam kalangan masyarakat Orang Asli, aspek ekonomi, kesihatan dan budaya harus diberi perhatian.

Menurutnya, perkhidmatan pembantu perubatan dalam kalangan belia Orang Asli perlu diwujudkan semula selain melantik mereka bagi mengisi jawatan pada semua peringkat, sama ada secara tetap atau kontrak.

“Inisiatif ini dilihat berkesan, kerana masyarakat Orang Asli dapat menyampaikan maklumat kesihatan menggunakan bahasa suku kaum mereka sendiri…kadang-kadang bila kita guna bahasa asing, mereka kurang faham,” katanya.

Tambah beliau, penyediaan dana khusus harus diperuntukkan bagi latihan dan pembangunan sumber manusia belia Orang Asli membabitkan aspek keusahawanan, industri, kemahiran, teknologi dan profesional.

“Dana ini boleh diurus tadbir oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagi tujuan penganjuran dan pelaksanaan program pembangunan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, MBOAM turut berharap program latihan dan pembangunan kepada orang kurang upaya dalam kalangan masyarakat pribumi itu untuk memperluaskan punca pendapatan turut diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2020.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");