Berita Hari Ini
Like

Berhenti Atau Cuti, NUJ Dan Pekerja Utusan Keliru

October 9, 2019
198 Views
0 Comments
2 minutes read
Berhenti Atau Cuti, NUJ Dan Pekerja Utusan Keliru

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd, Mohd Taufek Razak, mendakwa pihaknya keliru dengan nasib pekerja syarikat itu yang hanya dimaklumkan diberi cuti sehingga hujung bulan.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata, seramai kakitangan 862 kakitangan syarikat hari ini tidak menerima surat pemberhentian kerja sebaliknya hanya surat penutupan operasi sahaja.

Jelasnya, dalam taklimat terbaru oleh ketua jabatan masing-masing, mereka hanya diberitahu bahawa kakitangan hanya diberikan cuti sehingga hujung bulan ini sahaja dan perkara itu menimbulkan kekeliruan kepada semua yang terbabit.

“Kami dimaklumkan bahawa bangunan ini sudah disita dan tidak lagi boleh beroperasi. Malah wakil syarikat pembubar (liquidator) sudah pun berada di sini (bangunan Utusan) untuk memberi maklumat.

“Kami diberi masa sehingga esok untuk mengemas apa sahaja keperluan dan kakitangan selepas ini dicutikan sehingga 31 Oktober ini,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Taufek menyifatkan tindakan syarikat terhadap pekerja ketika ini adalah tidak berperikemanusiaan kerana bukan sahaja memberi notis pendek malah tidak memberi maklumat sepenuhnya kepada pekerja.

“Adalah tidak wajar mereka tidak memaklumkan awal-awal kepada syarikat malah tiada wakil eksekutif tertinggi yang muncul pada hari ini.

“Segala penerangan hanya disampaikan oleh ketua jabatan masing-masing sehinggakan banyak persoalan yang tidak terjawab. Ini saya anggap tindakan bacul dan tidak berjiwa besar oleh pihak berkenaan,” katanya.

Mengenai gaji, Taufek menjelaskan gaji akan dibayar kepada kakitangan adalah sehingga 31 Oktober ini, namun tegasnya tiada penerangan mengenai pampasan.

Ditanya harapan pihak NUJ dalam menyelesaikan kemelut ini, Taufek berkata tiada harapan melainkan semua kakitangan syarikat mendapat pekerjaan semula kerana ekonomi negara yang sukar ketika ini.

“NUJ sentiasa berjuang untuk pekerja Utusan dan setiap dari kami menyayangi syarikat ini dan masih mengharapkan yang terbaik,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.