Sukan Hari Ini

Chong Wei Harap Emas Sulung Hadir di Tokyo

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei masih mengharapkan pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik dapat dijelmakan di Tokyo tahun depan.

“Disebabkan saya sendiri tak dapat menghadiahkan pingat emas jadi saya mengharapkan pada kali ini saya boleh membawa kontinjen negara untuk memenangi pingat emas pertama negara,” kata Chong Wei yang dilantik sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Chong Wei yang ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2019 berkata dia bagaimanapun memahami tekanan yang dihadapi atlet dalam menghadapi temasya terbesar dunia itu.

“Saya tahu bukan mudah di Olimpik kerana ia adalah temasya paling besar. Mental kena sangat kuat dan pada masa sekarang yang paling penting adalah menjaga kesihatan dan mengelakkan daripada kecederaan kerana semua atlet juga masing-masing cuba untuk melepasi kelayakan ke Olimpik.

“Selepas habis tempoh masa kelayakan barulah kita boleh melihat sasaran dan itu pun berdasarkan persembahan semasa ketika itu. Apa yang penting pada masa ini adalah kita memberi semangat kepada atlet untuk mengharungi tahun ini yang mana proses mengutip mata kelayakan adalah sangat sukar,” katanya yang juga pemenang tiga pingat perak di Olimpik.

Terdahulu, Chong Wei bagi pihak Yayasan Lee Chong Wei menyerahkan tajaan berjumlah RM2 juta dengan RM1.4 juta adalah bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan RM600,000 lagi diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal digunakan bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai kehidupannya kini yang sudah bersara sebagai pemain sejak Jun lalu berikutan penyakit kanser hidung yang dialaminya, Chong Wei berkata semuanya dalam keadaan baik.

“Saya kini lebih tenang dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga…Esok pula saya akan ke Itali selama 13 hari membawa isteri saya (Datin Wong Mew Choo) untuk bulan madu kali kedua,” katanya.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");