Berita Hari Ini

Debat Piala Tun Razak: Keterlibatan Dua Pelajar UiTM Di Luar Pengetahuan Institusi

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memaklumkan bahawa penyertaan dua pelajarnya yang menjadi ketua juri dan panel pemilih usul dalam Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 baru-baru ini dibuat tanpa pengetahuan institusi itu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata ini kerana, pihak penganjur telah menghubungi kedua-dua individu berkenaan secara terus untuk menjadi ‘adjudicator’ (ketua juri) bagi pertandingan berkenaan.

“Oleh yang demikian, penyertaan kedua-dua individu dalam pertandingan debat itu berlaku tanpa pengetahuan pihak universiti.

“UiTM amat memandang serius sensitiviti agama dan budaya masyarakat di Malaysia, serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga (UiTM) yang cuba menganggu atau memperlekehkan perkara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Mohd Azraai menjelaskan, ketua juri pertandingan itu, Mohammad Aidil Ali merupakan bekas pelajar UiTM berstatus gugur taraf manakala panel pemilih usul, Iyad Zakiy Amal pula adalah pelajar luar kampus (PLK) universiti berkenaan namun sedang dalam status cuti khas.

Justeru kata Mohd Azraai, UiTM akan menjalankan siasatan dalaman secara adil dan menyeluruh bagi melihat sekiranya pelajar itu didapati melakukan kesalahan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang UiTM, dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Isu berkaitan pertandingan debat itu dalam kalangan pelajar sekolah baru-baru ini menjadi tular di laman sosial apabila antara tajuk yang diutarakan melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya hari ini memberitahu, hasil siasatan mendapati Mohammad Aidil dan Iyad Zakiy tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan di mana debat itu berlangsung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");