Berita Hari Ini

Dewan Kecoh, Ahli Parlimen Baling Digantung

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim digantung daripada sesi Dewan Rakyat selama dua hari selepas menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai berat sebelah.

Mohamad Ariff mengarahkan Abdul Azeez daripada Barisan Nasional (BN) supaya keluar dari Dewan selepas enggan menarik balik tuduhan berkenaan.

Perkara itu berlaku ketika sesi Dewan Rakyat kecoh berhubung isu komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, selepas Mohamad Ariff menolak usul membincangkan isu berkenaan.

Mohamad Ariff menasihatkan Ahli Parlimen supaya tidak mengeluarkan perkataan yang tidak sesuai digunakan di Parlimen, namun Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mendakwa, RSN Rayer (PH-Jelutong) mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada beliau, semalam namun tidak diarahkan ditarik balik oleh Yang Dipertua.

Mohamad Ariff kemudian mendengar Abdul Azeez menuduh beliau sebagai ‘berat sebelah’.

“Saya dengar itu Baling, tarik balik. Saya dah arah Jelutong tarik balik perkataan bodoh.

“Baling sebut saya berat sebelah, betul atau tidak? Tarik balik. Sekali lagi sebut saya berat sebelah, saya usir keluar,” katanya.

Dalam suasana kekecohan itu, Mohamad Ariff kemudian mengarahkan bentara supaya mengiringi Abdul Azeez keluar dari Dewan.

Abdul Azeez bagaimanapun menyatakan beliau sudah menarik balik perkataan ‘berat sebelah’ itu, namun ia tidak diterima Mohamad Ariff.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid membangkitkan usul mengenai komik itu selepas sesi soal jawab Dewan Rakyat tamat.

Mohamad Ariff berkata, beliau sudah memutuskan bahawa usul itu ditolak kerana isu pengedaran komik itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan tidak perlu disegerakan.

“Saya sudah buat keputusan, tak perlu dibuka-buka lagi. Edaran (komik) di sekolah sudah diselesaikan, tak boleh diedarkan lagi dan perkara ini sudah disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN), apa lagi nak dibincang sebagai perkara mendesak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");