Berita Hari Ini

Dua ADUN Antara Tujuh Ditahan Kes Berkaitan Pengganas LTTE

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Semua yang ditahan dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas terbabit.

Operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

Selain itu, seorang ejen insurans di Kuala Lumpur berusia 38 tahun ditahan selepas disyaki merancang melancarkan serangan terhadap Suruhanjaya Sri Lanka di ibu negara, selain memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas antarabangsa berkenaan.

“Kita juga menahan dua lelaki iaitu seorang peniaga barang lusuh di Rawang, Selangor dan pemandu teksi di Sungai Siput, Perak yang sebelum ini pernah terbabit dalam insiden mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2016.

“Peniaga barangan lusuh itu juga adalah penganjur program Hari Perwira LTTE di Kuala Lumpur pada November setiap tahun, manakala pemandu teksi berkenaan pernah menyertai pertemuan sulit di Sungai Siput, Perak untuk merekrut dan menyebarkan propaganda kumpulan berkenaan di negara ini,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, seorang peniaga kedai makan di Sungai Buloh, Selangor, berusia 57 tahun ditahan selepas dikesan menyokong dan mempromosikan kumpulan pengganas itu di media sosial.

“Seorang juruteknik berusia 27 tahun di Kulim, Kedah juga turut ditahan apabila disyaki menyokong dan memiliki barangan berunsurkan kumpulan pengganas berkenaan,” katanya.

Ayub menjelaskan, siasatan terperinci berkaitan kumpulan LTTE di negara ini mula dijalankan sejak November tahun lalu dan pihaknya mempunyai asas kukuh untuk membuka kertas siasatan terhadap mereka.

LTTE adalah kumpulan diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014.

“Kita juga menerima maklumat ada cubaan menghidupkan semula LTTE apabila terdapat dua individu ditahan di Eropah yang dikesan mengumpulkan dana untuk kumpulan itu.

“Kita mengambil tindakan awal supaya dapat mengelak Malaysia menjadi pusat mengaktifkan kembali LTTE kerana ia akan menjejaskan imej negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");