Perak Hari Ini

Infra Telekomunikasi: Perak Akan Bekerjasama Dengan Pihak Swasta

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan berusaha memperluaskan infra telekomunikasi dengan kerjasama pihak swasta, supaya kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar di negeri itu mendapat kemudahan jalur lebar lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata antara pihak swasta yang dicadang termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain lagi, untuk memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“InsyaAllah Perak akan beri penekanan dalam hal ini untuk pembentangan bajet negeri yang akan dibentang bulan hadapan,” katanya ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang berjaya mengurangkan harga jalur lebar 49 peratus dan mempercepatkan kelajuannya tiga kali ganda, lapor Bernama.

Hasnul Zulkarnain berkata ia merupakan satu kejayaan besar kerajaan hari ini untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan pada yang sama mengurangkan harga perkhidmatan, supaya bilangan pengguna yang mampu melanggan dapat ditingkatkan.

“Dalam perkembangan pesat teknologi digital pada hari ini, capaian jalur lebar kini bukan lagi satu kehendak tetapi ia adalah satu keperluan, maka sesuatu yang menjadi keperluan, harga yang perlu dibayar mestilah pada kadar yang munasabah, kompetitif dan mampu dilanggan.

“Barulah rakyat dapat menikmati perkembangan yang berlaku dan sedikit sebanyak memudahkan urusan mereka sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Hasnul Zulkarnain berkata Kerajaan Negeri juga akan segera meneliti cadangan mewujudkan perpustakaan digital di Perak, bagi mengenal pasti aspek-aspek yang diperlukan, supaya projek itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan berjaya dilaksanakan.

Katanya ia merupakan salah satu inisiatif yang dapat memanfaatkan perkembangan teknologi digital dan kemudahan infra telekomunikasi yang sedang berkembang di Perak, dalam usaha meningkatkan budaya perkongsian pengetahuan dan pendidikan.

“Dengan adanya perpustakaan digital, ia akan menjadi satu konsep baharu perpustakaan yang tiada sempadan fizikal, tersedia sepanjang masa, berupaya menyimpan lebih banyak bahan dan maklumat serta mempunyai akses yang luas.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik dalam membudayakan perkongsian ilmu pengetahuan dan menggalakkan rakyat Perak untuk menggunakan kemudahan ini dan tidak perlu lagi untuk datang ke premis seperti mana perpusatakaan tradisional,” katanya.

Mengenai pengumuman pusat peningkatan digital sehenti di semua negeri yang bertujuan memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Digital Perak bagi memastikan projek itu memenuhi keperluan dan dapat menjadi nilai tambah kepada PKS di Perak.

Beliau berharap mereka yang bakal menerima manfaat daripadanya terutamanya di negeri Perak, dapat mengambil peluang menggunakan kemudahan itu, seterusnya menjadikan perusahaan mereka berkembang seiring dengan perkembangan teknologi pada hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");