Berita Hari Ini

Institusi Pendidikan Dicemari Bukti Adab Rakyat Semakin Menipis

KOTA BHARU – Dua insiden yang berlaku melibatkan institusi pendidikan sejak kebelakangan ini menyaksikan adab dan sopan santun rakyat Malaysia yang menjunjung kedaulatan Perlembagaan Persekutuan semakin menipis.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, insiden provokasi di Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) dan tajuk kontroversi Debat Piala Tun Razak sebenarnya banyak mengguris hati seluruh rakyat Malaysia secara umumnya.

Beliau berkata, insiden provokasi di UM tidak kena pada tempatnya dan mengguris hati ribuan graduan lain yang mahu menikmati detik bersejarah setelah mereka bertungkus-lumus belajar selama bertahun-tahun di universiti.

“Jika bercakap soal hak asasi kebebasan bersuara, apakah hak pelajar tersebut untuk merosakkan suasana konvokesyen yang mahu dinikmati oleh ribuan graduan lain. Perbuatan seperti ini jelas menunjukkan rendahnya ‘kecenderungan emosi’ walaupun kini bergelar siswazah.

“Kami juga menggesa parti politik lain tidak menangguk di air keruh untuk menggesa pemecatan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim kerana ucapan di Kongres Maruah Melayu.

“Apa yang rasisnya jika Dr Abdul mengutarakan fakta bahawa dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal? Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam amanatnya turut menyatakan bahawa kerajaan hari ini tidak kuat kemelayuannya berbanding kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai Debat Piala Tun Razak, beliau berkata, tajuk debat tersebut tidak langsung menghormati adab orang Islam di bumi Malaysia.

Malah Shahir turut mempersoalkan apakah signifikannya tajuk debat berkaitan homoseksual dan mempersoal al-Quran untuk kemajuan pelajar-pelajar.

“Negara kita bukan negara liberal yang memberikan kebebasan seluas-luasnya tanpa sebarang undang-undang. Tajuk debat haruslah dipilih untuk memberikan kebaikan kepada anak muda, bukan memesongkan ajaran agama masing-masing.

“Seharusnya tajuk debat berkisar polisi pendidikan, ekonomi, alam sekitar, undang-undang dan masa depan negara menjadi tajuk utama,” katanya.

Oleh demikian beliau menggesa siasatan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan untuk memberi teguran kepada pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian agama dan kaum pada hari ini memetik Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");