Berita Hari Ini

Isa Kata Bayar Lebih RM7 Juta Lepas Ambil Kira Nama Hotel – Saksi

Pengerusi Felda Mohd Isa Samad berkata lebihan RM7 juta dalam harga yang dibayar untuk mengambil alih Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, adalah wajar selepas mengambil kira nama hotel itu yang telah lama dikenali di situ, kata saksi Mohd Zaid Abdul Jalil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ia berkenaan nilai yang dibayar Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) kepada pemilik hotel, Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, iaitu RM160 juta, walau penilaian mendapati nilainya adalah RM153 juta.

Ketika memberi keterangan, Mohd Zaid yang merupakan bekas CEO FIC berkata, Isa memintanya mengekalkan harga pengambilalihan kepada RM160 juta sehari sebelum mesyuarat lembaga pengarah FIC.

Mesyuarat kesepuluh lembaga pengarah itu kemudiannya meluluskan pengambilalihan Merdeka Palace Hotel & Suites, walaupun lembaga pengarah memutuskan ia tidak menguntungkan dalam mesyuarat sebelumnya.

“Sebaik sebelum mesyuarat kesepuluh lembaga pengarah bermula, saya telah dipanggil Isa untuk ke biliknya. Ketika itu, dia maklumkan untuk mengekalkan harga pengambilalihan hotel pada nilai RM160 juta.” katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-15.

Dia berkata, Isa juga berkata tidak perlu membincangkan soal diskaun RM10 juta yang dicadangkannya dan dipersetujui Isa sendiri sebelum itu, dalam mesyuarat itu nanti.

Katanya lagi, dia kemudian bertanya tentang justifikasi lebihan RM7 juta itu dan Isa berkata “kita perlu mengambil kira ‘goodwill‘ (nama baik) iaitu nama Merdeka Palace Hotel & Suites telah lama diguna pakai dan dikenali di Kuching”.

Dia juga berkata Isa memberitahu cadangan pengambilalihan hotel yang dibentang dalam mesyuarat kesepuluh itu tidak perlu dibentang semula kepada lembaga pengarah Felda.

“Isa kata…memandangkan sebahagian daripada ahli lembaga pengarah Felda ada dalam lembaga pengarah FIC yang meluluskan pengambilalihan hotel,” katanya sambil menambah perkara itu tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.

Ia bertentangan dengan prosedur sebelum ini ketika pembelian ekuiti RIS Corporation Berhad bernilai RM144.7 juta, apabila cadangan itu dibentang di lembaga pengarah Felda selepas diluluskan lembaga pengarah FIC.

Isa berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");