Berita Hari Ini

Isu LTTE: Beri Ruang Pihak Berkuasa Tangani Keganasan – Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau memahami isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini terutamanya berhubung penahanan mereka yang didakwa terlibat dengan pergerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.

Beliau yang berucap di majlis penutup Deepavali Carnival ke 18 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berkata semua pihak bagaimanapun perlu menyokong segala usaha yang dilakukan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan keamanan di negara ini.

“Saya tahu ada masalah yang dibangkitkan tentang penahanan rakan-rakan kita (tahanan berkait LTTE),

“Tetapi saya ingin merayu kepada saudara terutama dalam soal jenayah dan keganasan, ia harus ditangani pihak polis dan kita mesti memberi ruang dan sokongan kepada mereka,” katanya.

Pihak polis sebelum ini menahan 12 individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Empat daripada mereka yang ditahan juga merupakan ahli DAP termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) – G Saminathan (Gadek, Melaka) dan P Gunasekaran (Seremban Jaya, Negeri Sembilan).

Dalam ucapan yang sama, Anwar turut menyatakan sokongan supaya mereka yang ditahan dapat dibicarakan dengan adil dan proses pendakwaan perlu dilakukan dengan kadar segera di mahkamah.

“Jika ada bukti terhadap mereka, maka perkara yang betul adalah untuk mendakwa mereka, jika tidak mereka perlu dibenarkan untuk menyertai keluarga mereka (meraikan Deepavali),” katanya lagi.

Bagaimanapun, Anwar dalam ucapannya turut mempertikai beberapa peruntukan dalam Sosma.

Menurut MP Port Dickson itu malahan perkara tersebut sudahpun disampaikan kepada beberapa pemimpin PH termasuk Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

“Sikap kita dalam PH dan saya dari PKR memang mempertikai beberapa peruntukan undang-undang dalam Sosma,” katanya.

Anwar berkata pihak berkuasa perlu berhati-hati dengan penggunaan sesetengah undang-undang keselamatan pada hari ini kerana ianya kadang kala bersifat draconian (zalim) dan tidak berlandaskan piawaian tertinggi hak asasi manusia dan proses yang adil.

Menjelaskan lanjut, presiden PKR berkata pendirian itu bukan bertujuan mempertikai tindakan pihak polis kerana beliau sangat memahami tugas pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan negara daripada anasir-anasir yang ingin mencetuskan huru-hara.

“Cuma segerakan tindakan, segerakan untuk mereka dihadapkan ke mahkamah.

“Dan cuba sebagai kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan Sosma yang kami tafsirkan kurang wajar,” katanya.

Terdahalu, wakil rakyat DAP Kasthuri Patto menggesa pihak polis sama ada mendakwa atau membebaskan tahanan yang dikaitkan dengan LTTE.

Katanya, pendekatan “tahan dulu, siasat kemudian” yang digunakan sekarang adalah sama dengan apa yang pernah diamalkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum akta itu dihapuskan pada 2012.

“[…] Ada undang-undang jenayah dan akta yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka. Tapi untuk gunakan Sosma ke atas mereka, itu tak dapat diterima, ia melanggar hak asasi dan kebebasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");