Perak Hari Ini

Jabatan Perhutanan Nafi Beri Rasuah Kepada Orang Asli

KUALA KANGSAR- Jabatan Perhutanan Negeri Perak menafikan wujudnya pemberian rasuah semasa perjumpaan Pegawai Perhutanan dan wakil balak di Pejabat Hutan Daerah Sungai Siput.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, dakwaan rasuah tersebut juga diluar pengetahuan pihak jabatan sendiri.

“Pihak jabatan tak tahu walaupun didakwa rasuah tersebut diberi di pejabat, malahan saya turut nafikan berlaku pemberian rasuah semasa perjumpaan pegawai kita kerana pada masa yang sama hanya ada pegawai dan tak ada wakil pembalak.

“Pada masa yang sama, turut berlaku perbincangan bersama komuniti orang asli Kampung Lawai di mana mereka turut bersetuju mengadakan pembalakan di kawasan tersebut.

“Pihak jabatan juga akan memerikan kerjasama sepenuhnya kerana kawasan yang didakwa berlaku pencerobohan tersebut memang diluluskan dan sah dari segi perundangan.,“ katanya.

Terdahulu, sekumpulan 10 daripada 30 keluarga Orang Asli dari Kampung Lawai, Jalong Tinggi dekat Sungai Siput, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebahagian daripada RM40,000 wang ‘saguhati’ yang didakwa diberi sebuah syarikat konsesi balak.

Menurut laporan, pada 3 Oktober lalu, dua penduduk Kampung Lawai sudah memanggil semua penduduk kampung untuk bermesyuarat di Dewan Adat di mana salah seorang daripada mereka memberitahu RM80,000 akan diberikan kepada penduduk oleh syarikat konsesi untuk satu blok balak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program Restorasi Tebing Sungai Perak Sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu Mohamed Zin turut mengulas mengenai tuntutan saman dibuat penduduk orang asli Kampung Cunex terhadap kerajaan negeri.

Katanya, penduduk kampung tersebut mendakwa bahawa kawasan pembalakan adalah kawasan adat mereka sejurus pihak pembalak menjalankan aktiviti pembalakan.

“Menurut mereka, aktiviti tersebut tidak mendapat keizinan dari penduduk kampung tersebut walaupun kawasan tersebut adalah kawasan hutan simpan dan bukannya tanah adat.

“Tuntunan saman ini masih lagi berada di peringkat permulaan di mana dokumen baru sahaja diserahkan dan tiada sebarang perkembangan,” katanya.

Penduduk Kampung Cunex juga meminta mahkamah mengiktiraf tanah diduduki mereka sebagai tanah adat di samping menghalang kerja-kerja pembalakan di kawasan tanah itu.

Perkara ini telah menjejaskan aktiviti pembalakan dan memberi kesan kepada pelesen dan juga kilang berasaskan kayu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");