Panasnya Hari Ini

Jangan Putar Belit Kenyataan Saya – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Polis diminta memberi tumpuan siasatan menyeluruh kes berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia daripada membuat sebarang kenyataan tidak berasas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memang sentiasa memberikan sokongan kepada polis, namun agensi keselamatan itu tidak wajar membuat kenyataan tidak relevan terutama berkaitan kenyataan medianya sebelum ini.

Menurutnya, kenyataan media dikemukakannya sebelum ini juga diputarbelitkan segelintir media apabila beliau hanya merujuk perkataan ‘wakil rakyat’ dan bukan parti.

“Saya tidak pernah sebut hendak halang siasatan polis. Mana-mana pihak jangan putar belit kenyataan saya.

“Saya harap (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman) Datuk Ayob (Khan Mydin Pitchay) baca kenyataan saya dan jangan putar belit kenyataan seorang pemimpin negara.

“Polis diharap tumpukan masa untuk buat siasatan daripada keluar komen tidak relevan daripada kenyataan yang saya tidak buat,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, Guan Eng ketika ditanya mengenai kenyataannya menyatakan tiada wakil rakyat akan ditahan polis selepas ini, beliau mendedahkan mendapat taklimat daripada seorang individu.

“Saya tidak akan beritahu siapa berikan taklimat itu tetapi saya rasa maklumat diberikan untuk dimaklumkan kepada menteri,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta agar polis diberi ruang sepenuhnya untuk menyiasat gerakan kumpulan itu tanpa sebarang gangguan dan tekanan.

Katanya, dalam isu berkaitan jenayah dan ancaman negara, polis perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan dengan segala kepakaran yang ada.

“Kita harus beri ruang kepada polis selesaikan masalah jenayah, masalah keganasan. Bagi ruang polis untuk tidak rasa tertekan dengan begitu banyak gangguan sebab itu dalam kes penahanan ini, saya serah kepada budi bicara polis dan KDN untuk menanganinya.

“Pasal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), itu soal lain. Tidak mahu ganggu oleh demikian, saya tidak fikir wajar dipersoal proses siasatan yang dikendalikan polis sekarang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");