Sukan Hari Ini

JDT, Kedah Berentap Di Final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu Kedah pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 2 Nov ini selepas masing-masing melepasi saingan separuh akhir kedua di tempat lawan, malam tadi.

Menurut Bernama, di Stadium Shah Alam, pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid muncul wira JDT apabila meledak jaringan hatrik bagi membenam juara 33 kali, Selangor 3-0 sebelum melangkah ke pentas final dengan agregat 5-1.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu membuka tirai jaringan pada minit ke-24 setelah menolak masuk bola hasil lorongan cantik Mohd Afiq Fazail.

Muhammad Safawi mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-46 menerusi percubaan cantik daripada luar kotak penalti, sebelum meledak gol ketiga selang lima minit kemudian setelah memanfaatkan hantaran daripada Gonzalo Cabrera.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, pada 19 Okt lalu, JDT menang 2-1.

Dalam pada itu, Kedah diheret beraksi sehingga ke masa tambahan 30 minit ketika berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebelum mengesahkan kemaraan ke final dengan agregat 8-8 berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, Kedah dan Pahang seri 3-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pada aksi di Kuantan, lima gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Fernando Rodrigues pada minit kelapan dan minit ke-117, Jonathan Bauman (minit ke-54), Baddrol Bakhtiar (minit ke-85), dan Renan Alves pada minit ke-92.

Lima gol Pahang disumbangkan oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke-33 dan minit ke-120, Lazarus Kaimbi (minit ke-71 dan minit ke-76, selain sepakan penalti oleh Herold Mark Goulon pada minit ke-114 perlawanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");