Berita Hari Ini

Jho Low Seperti Musang Jaga Ayam, Kata Peguam Najib

Peguam Najib Razak hari ini menyifatkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low sebagai musang yang diberi tugas menjaga ayam.

Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu, yang memasuki hari ke-26.

Shahrol, yang muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi pendakwaan ke-9, berkata 1MDB pada tahun 2010 menghadapi masalah terhadap usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

Shahrol memberitahu selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, yang ketika itu pengerusi penasihat lembaga 1MDB pada 16 Okt 2009, beliau bertemu Jho Low, mendapatkan minit mesyuarat antaranya dengan Najib dan kembali kepada lembaga pengarah 1MDB.

Keterangan itu menimbulkan kemarahan Shafee, yang mengatakan ia seolah-olah meminta musang menjaga ayam.

Shafee: Adakah salah jika saya kata Jho Low adalah musang yang menjaga ayam?

Shahrol: Saya melihatnya sebagai pelancar kerja (facilitator) untuk Najib. Kini seakan dia (Jho Low) juga melancarkan penyelewengan (wang) daripada 1MDB.

Untuk makluman, pada tahun 2009, pengurusan 1MDB menghadapi masalah selepas ia memindahkan AS$ 700 juta ke akaun syarikat lain sedangkan ia sepatutnya membayar jumlah yang sama kepada Petrosaudi International.

Bayaran itu bertujuan menyelesaikan hutang yang dilakukan syarikat usaha sama mereka yang dipanggil sebagai 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang dikatakan hasil suntikan aset daripada Petrosaudi.

Shahrol sebelum ini memberi keterangan bahawa Petrosaudi memaklumkan kepada 1MDB bahawa akaun RBS Coutts Bank adalah milik anak syarikat Petrosaudi.

Bagaimanapun, ini dibuktikan sebagai pembohongan apabila Shahrol kemudian mengetahui akaun itu sebenarnya milik Good Star Ltd, yang merupakan syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.

Saksi setuju salah ikut arahan Najib

Sementara itu, ketika perbicaraan, mahkamah turut mendengar pengakuan Shahrol bahawa adalah salah baginya mengikut arahan Najib dalam menerajui syarikat itu.

Pengakuan itu dibuat selepas sesi soal jawab yang panas antara Shafee dan saksi berkenaan, apabila peguam berkenaan memberi tekanan terhadap tugas fidusiari Shahrol dalam syarikat itu.

Shafee berkata, tidak ada mana-mana peruntukan dalam Memorandu dan Artikel Penubuhan 1MDB yang meletakkan CEO 1MDB mempunyai kewajipan fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat.

Beliau turut mencadangkan Shahrol adalah orang yang telah merosakkan pemahaman mengenai undang-undang syarikat.

“Mungkin saya salah untuk menganggap bahawa Datuk Seri Najib adalah seseorang yang saya terpaksa dengar dalam melaksanakan semua tugas-tugas ini,” akui Shahrol.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok pada jam 11 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");