Berita Hari Ini

Kaji Selidik Tunjuk KJ Pembangkang Paling Popular, Dipercayai Tapi…

Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi pemimpin pembangkang “paling popular dan dipercayai” berdasarkan satu kaji selidik yang dilaporkan di beberapa media tempatan.

Kaji selidik itu dijalankan firma komunikasi Citrine One Sdn Bhd dengan kerjasama Callmark Solution Sdn Bhd. Mereka turut memaparkan demografi yang digunakan dalam kaji selidik itu.

Bagaimanapun terdapat sedikit masalah dari segi perwakilan populasi Malaysia, dan sama ada keputusan kaji selidik mencerminkannya.

Antaranya ia melibatkan 1,115 responden merangkumi Melayu (29 peratus), Cina (34 peratus), India (24 peratus) dan kaum lain (13 peratus), yang jauh berbeza dengan demografi kebangsaan atau mana-mana negeri.

Menurut Jabatan Statistik, anggaran warga pada 2019 ialah Bumiputera (69.1 peratus), Cina (23 peratus), India (6.9 peratus) dan kaum lain (satu peratus).

Selain itu, lebih separuh daripada responden (58 peratus) adalah daripada Kuala Lumpur dan Selangor.

Responden dari negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang pula masing-masing hanya merangkumi satu peratus, sementara responden dari Malaysia Timur pula tujuh peratus.

Tak didanai mana-mana pihak

Ketika sidang media untuk mengumumkan dapatan kaji selidik di Kuala Lumpur hari ini, wakil pengurusan Citrine One, Ivilyn Yap mengakui kaji selidik itu mewakili seluruh pengundi.

“Kaji selidik ini tidak mewakili seluruh negara,” katanya.

Dia juga berkata Citrine One tidak didanai mana-mana pihak untuk membuat kaji selidik itu.

Sementara itu dalam kenyataan balas terhadap laporan Malaysiakini, rakan pengurusan Citrine One, Sharves Bala, berkata kaji selidik tersebut tidak dibuat sebagai analisis bersifat politik atau ia bertujuan untuk mengukur keutamaan mengundi responden.

 

“Kaji selidik kami semata-mata untuk mengukur keberkesanan strategi komunikasi yang dikerahkan parti pembangkang dan pemimpinnya.

“Pengukuran dibuat berdasarkan unsur-unsur komunikasi sebagai bidang kepakaran kami. Ini bukan analisis politik atau tinjauan untuk memahami kecenderungan responden dengan cara apa sekali pun.

“Artikel ini cuba untuk memenuhi syarat demografi tinjauan kami dengan membandingkannya dengan kaji selidik politik kerana tujuan kami hanya melihat dari perspektif komunikasi saja.

“Penyataan tidak adanya status pengundi responden dicatatkan dalam artikel tersebut.

“Status pengundi responden bukan prasyarat untuk tinjauan kami kerana kami memberi tumpuan kepada bagaimana responden memikirkan parti pembangkang dan pemimpin yang berkomunikasi,” katanya.

Kenyataan media berkenaan kaji selidik itu menyatakan 80 peratus responden memberi markah purata lima hingga lapan kepada Khairy.

Respenden diminta memberi markah kepada beberapa pemimpin pembangkang antara satu (paling tidak popular) hingga lapan (paling popular).

Sejumlah 40 peratus memilih Khairy sebagai pilihan utama dengan markah “8”. Ditempat kedua ialah bekas perdana menteri Najib Razak – yang kini berdepan perbicaraan mahkamah berkenaan skandal 1MDB – dengan 36 peratus.

Tempat ketiga jatuh kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dipilih 10 peratus responden.

“Responden juga memilih Khairy sebagai pemimpin pembangkang paling dipercayai, menerusi soalan subjektif, dengan 170 sebutan daripada 357 responden yang menjawab soalan itu,” kata kenyataan itu lagi.

Kira-kira 33 peratus responden berkata “kelantangan” merupakan faktor utama untuk mereka memilih pemimpin pembangkang paling popular.

Status mengundi responden tak dinyatakan

Kenyataan itu turut menyertakan penjelasan Yap: Populariti dan kebolehpercayaan KJ menunjukkan era di mana ketua parti mendapat undi popular terbanyak sudah berlalu.”

“Rakyat tampaknya menuju ke arah undian berdasarkan kelantangan pemimpin serta kejelasan pemikiran ketika berkomunikasi, dan konsisten dalam komunikasi.

“Tambahan pula, kaji selidik dibuat ketika KJ sebenarnya membisu selepas Dato’ Seri Najib (Abdul Razak) menjadi penasihat kepada Umno,” katanya lagi.

Bagaimanapun kaji selidik yang dijalankan antara 13 September hingga 3 Oktober itu tidak menjelaskan sama ada responden berdaftar sebagai pengundi atau tidak.

Kaji selidik itu juga mendapati Umno sebagai parti pembangkang “paling popular” apabila dipilih 30 peratus responden.

PAS mendapat tempat kedua dengan 13 peratus manakala MCA dan Gerakan berkongsi tempat ketiga dengan tujuh peratus.

Menurut kaji selidik itu, metodologi yang digunakan termasuk “penyebaran borang kaji selidik di lapangan, penyebaran melalui emel kepada pengamal media dan korporat serta penyebaran borang Google, secara atas talian dan luar talian.”

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");