Perak Hari Ini

Kawasan KTM Ipoh Bakal Dibangunkan Hab Pengangkutan Secara Bersepadu

IPOH: Tanah sekitar 78 hektar di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh bakal dinaiktaraf dan dibangunkan menerusi Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, menerusi inisiatif sama, kawasan seluas 27 hektar dalam kawasan sama bakal dibangunkan secara bersepadu dan berintegrasi dengan hab pengangkutan.

Katanya projek tersebut merupakan rentetan daripada perjanjian persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) yang ditandatangani pada Julai lalu.

Tambah beliau, projek yang dibangunkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM5 bilion itu bakal siap sepenuhnya dalam tempoh 10 ke 15 tahun lagi.

Jelas Anthony, pembangunan di kawasan tersebut juga akan dibahagikan kepada beberapa segmen yang merangkumi kawasan perumahan, hotel, institusi pendidikan, pembangunan bercampur, komersial, kawasan hijau dan sebagainya.

“Segmen komersial dan hab pengangkutan, masing-masing membawa kepada 25 dan 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelan pembangunan ini menjadi intipati penting yang bakal melengkapi keperluan bagi mewujudkan konsep pembangunan yang berasaskan transit.

“Untuk makluman semua, akhir tahun lalu, RAC telah merasmikan kawasan pembangunan KL Eco City dengan pembukaan Stesen Keretapi Abdullah Hukum, yang mana pembangunan di kawasan itu telah mengguna pakai konsep pembangunan berasaskan transit.

“Selain itu, perkara utama yang menjadi tumpuan kedua-dua pihak adalah mewujudkan segmen kediaman termasuk rumah mampu milik di dalam kawasan pembangunan ini yang merangkum 16 peratus daripada keluasan yang diperuntukkan,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada pembangunan besar Rumah Perakku di kawasan sekitar Stesen KTM Ipoh.

Katanya pangsapuri kos sederhana dan mewah juga akan dibangunkan bagi mewujudkan pilihan kediaman kepada rakyat.

“Selain itu, penyediaan ruang komersial dalam komponen pembangunan bersepadu ini juga bakal membuka peluang perniagaan dan pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Dianggarkan sebanyak 8,500 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di sekitar kawasan pembangunan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) 2 Dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh di Stesen KTM Ipoh, di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");