Berita Hari Ini
Like

Kedutaan Untuk Palestin Akan Dibuka Dalam Masa Terdekat – Dr Mahathir

October 27, 2019
356 Views
0 Comments
2 minutes read
Kedutaan Untuk Palestin Akan Dibuka Dalam Masa Terdekat – Dr Mahathir

BAKU, AZERBAIJAN : Kedutaan untuk Palestin yang ditempatkan di Jordan bakal dibuka dalam masa terdekat.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, keputusan untuk membuka kedutaan tersebut yang ditauliahkan untuk Palestin bukan semata-mata kerana rakyat negara itu beragama Islam.

Sebaliknya, tegas Dr Mahathir, Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin, dan apa yang berlaku ke atas Palestin adalah tidak adil.

“Ketiadakadilan yang dilakukan terhadap orang Palestin dengan merampas tanah mereka, dan memberikan Israel bantuan supaya Israel dapat mempertahankan daripada usaha untuk mendapatkan balik (tanah) Palestin.

“Semua itu adalah ketidakadilan yang perlu kita buat supaya seluruh dunia sedar bahawa ini merupakan masalah ketidakadilan,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia, di sini, pada Sabtu, lapor Astro Awani.

Justeru itu, Dr Mahathir menambah usaha membuka kedutaan untuk Palestin adalah sebagai langkah berterusan Malaysia dalam memberikan sokongan dan bantuan, selain membela hak rakyat negara itu yang ditindas.

“Jadi kita dapati bahawa kuasa-kuasa besar menyokong perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel.

“Ini menyedihkan kerana mereka bercakap berkenaan keadilan, rule of law, tetapi apabila Israel membuat salah, mereka terus menyokong Israel.

“Kita mahu ramai yang menyuarakan supaya dunia akan sedar akan ketidakadilan yang telah dilakukan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 memaklumkan bahawa Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi menyalurkan bantuan kepada negara itu.

Beliau dalam ucap tama tersebut antaranya menyifatkan komuniti antarabangsa dilihat hanya berpeluk tubuh dan tidak melakukan apa-apa terhadap nasib rakyat Palestin.

Komen & Pendapat

Comments are closed.