Berita Hari Ini

Kelantan, Terengganu Tidak Dipinggirkan – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan Kelantan dan Terengganu dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tidak seperti pentadbiran terdahulu, kerajaan sekarang tidak melupakan dua negeri yang ditadbir oleh PAS itu.

“(Kerajaan) tak lupa, kita bagi juga peruntukan kepada Kelantan. Di zaman dia (Barisan Nasional), peruntukan duit daripada royalti petroleum pun dia tak bagi. Kita bagi (royalti).

“Dia (kerajaan terdahulu) hutang orang dia tak bayar, kita kena bayar. Lepas tu dia marah kita kenapa hutang banyak. Dia yang hutang bukan kita (buat) hutang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) 2019 di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya ketiadaan peruntukan untuk projek berimpak tinggi di Kelantan dan Terengganu menerusi Belanjawan 2020 seolah-olah mencerminkan hukuman ke atas rakyat negeri itu kerana menolak parti kerajaan.

Ismail Sabri menyifatkan keadaan itu tidak memenuhi aspirasi pembangunan digariskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang mahukan kesinambungan projek berimpak tinggi.

Dr Mahathir turut mengambil contoh perolehan kapal dari China yang memaksa kerajaan menanggung hutang kerajaan terdahulu.

“Apabila kita membayar (perolehan kapal), mereka tuduh kita bodoh kerana membeli daripada China,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menjelaskan kritikannya terhadap projek Forest City di Johor tidak boleh disamakan dengan penurunan nilai ambang hartanah kepada warga asing pada RM600,000.

“Dulu saya kritik Forest City sebab ia pegangan bebas dan terlalu mewah bagi warga asing membelinya. Sebab utama kita buat ini (penurunan nilai ambang hartanah) kerana terlalu banyak lambakan hartanah yang tidak terjual.

“Ini pernah berlaku di Hong Kong dan Tokyo disebabkan pembangunan melampau. Kita perlu hapuskan lambakan ini supaya pasaran hartanah kembali pulih. Jika tidak, pemaju akan bermasalah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");