Membawang Hari Ini

Keluarga Kecewa Ada Individu Curi-curi Ambil Gambar Mamat Khalid

KELUARGA pengarah terkenal, Mamat Khalid kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir pelawat hospital yang sanggup menyelinap masuk ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) semata-mata untuk mengambil gambar pengarah itu.

Isterinya, Hasmah Hassan berkata, perbuatan tidak beradab itu disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan jururawat pada pagi Ahad lalu.

“Suami saya dimasukkan ke hospital pada petang Sabtu lalu dan sekitar awal pagi Ahad, ada lima individu yang kami tidak kenal menyelinap masuk ke dalam wad ICU yang menempatkan Mamat untuk mengambil gambarnya.

“Saya sangat kecewa dan marah kerana mereka masuk tanpa kebenaran keluarga dan curi-curi pula ambil gambar suami yang masih dalam rawatan.

“Mereka sangat tidak beradab dan saya anggap kurang ajar kerana tidak tahu adab melawat orang sakit. Apa yang mereka mahu hanya ambil gambar suami untuk ditularkan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Menurut Hasmah yang mesra dengan panggilan Kak Intan, pelawat tidak bermoral berkenaan dianggap mahu menjadi jaguh untuk menunjuk kepada masyarakat luar betapa mereka adalah orang terawal yang dapat mengambil gambar pengarah filem Hantu Kak Limah itu dalam keadaan sakit.

“Dalam tempoh beberapa jam gambar diambil mereka tular dan talian telefon saya terus jadi sibuk seperti bursa saham. Saya tertekan hingga tekanan darah pun naik.

“Saya dan keluarga dalam musibah dan sepatutnya hormatlah perasaan kami. Malah, disebabkan gambar tular itu ramai orang ingat keadaan suami saya teruk,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini Mamat, Hasmah berkata, petang semalam suaminya sudah membuka mata ketika menerima kunjungan beberapa orang penerbit dari Kuala Lumpur yang datang melawat.

“Dia juga ada menggerakkan kaki. Insya-Allah semuanya ok. Suami saya ini semangatnya kuat. Apapun, saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang juga peminat karya suami saya termasuk sahabat yang sentiasa mengutus doa,” katanya.

Hasmah meminta orang ramai terus berdoa untuk Mamat supaya pulih dan diberi kesembuhan semula oleh Allah untuk meneruskan perjuangan seninya.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke ICU di sebuah pusat rawatan di Ipoh, Perak, Sabtu lalu selepas mengadu sesak nafas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");