Berita Hari Ini

Kerajaan Sedia Kaji Bidaan Beli Plus – Dr M

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji sebarang pembidaan daripada mana-mana pihak untuk membeli Plus Malaysia Bhd (Plus), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang pembidaan dan akan membuat keputusan mengikut kesesuaian dan kehendak negara.

“Apa-apa pembidaan oleh sesiapa akan dikaji kerajaan, kalau ia (bidaan) sesuai dengan kehendak kita, kita akan layan permintaan mereka,” katanya pada sidang media di lobi parlimen, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan firma ekuiti persendirian milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd yang berpangkalan di Hong Kong menaikkan tawaran pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Pemegang saham utama Plus, Khazanah Nasional Bhd pada 5 Oktober lalu dilaporkan berkata tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Ditanya sekiranya penjualan aset seperti Plus akan menjejaskan pendapatan negara, Dr Mahathir berkata kerajaan mempunyai sebuah jawatankuasa khas untuk memantau isu berkaitan ekonomi termasuk jumlah hutang negara.

“Kita ada satu jawatankuasa untuk perhatikan masalah hutang dan pembayarannya. Ia (jawatankuasa ini) akan beri sebarang cadangan untuk kurangkan hutang negara,” katanya.

Ditanya tentang spekulasi bahawa Japan Airlines Co Ltd (JAL) boleh menjadi pesaing untuk memperoleh kepentingan dalam Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata beliau akan menyerahkan kepada Khazanah untuk membuat keputusan. Khazanah adalah pemegang saham tunggal Malaysia Airlines

“Saya belum bercakap dengan mereka (Khazanah) tetapi terdapat banyak pesaing (yang berminat) termasuk ramai rakyat tempatan, jadi terpulang kepada Khazanah untuk membuat keputusan,” katanya.

Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");