Perak Hari Ini

Kes Demam Denggi Meningkat Di Perak, 4 Daerah Catat Kes Kematian

IPOH: Perak menyaksikan peningkatan jumlah kes demam denggi apabila mencatat 2,486 kes bagi tempoh Januari hingga 12 Oktober tahun ini yang mana ia meningkat sebanyak 13.1 peratus berbanding 2,198 kes bagi tempoh yang sama pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata daripada angka tersebut, sebanyak empat kes kematian akibat demam denggi dicatatkan berbanding lima kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Kawasan yang terlibat ialah di daerah Batang Padang, Kinta, Hilir Perak dan Manjung yang masing-masing merekodkan satu kes kematian.

Selain itu, ujar beliau tiga daerah di Perak mencatatkan kes tertinggi berkaitan demam denggi pada tahun ini iaitu daerah Kinta sebanyak 693 kes, Batang Padang 273 kes, Larut, Matang dan Selama 257 kes.

Manakala Perak Tengah pula katanya mencatatkan kes yang paling rendah iaitu sejumlah 56 kes pada tahun ini.

“Ada beberapa daerah yang menunjukkan penurunan kes denggi antaranya daerah Manjung yang mencatatkan penurunan 53 peratus iaitu daripada 502 kes pada tahun lalu kepada 234 kes pada tahun ini.

“Manakala di Hilir Perak penurunan sebanyak 40 peratus iaitu daripada 334 kes kepada 203 kes; dan Kuala Kangsar penurunan 29 peratus, iaitu daripada 207 kes kepada 147 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Ujarnya lagi kes demam denggi di Perak menyaksikan beberapa perubahan trend misalnya kawasan di luar bandar mencatatkan peratusan peningkatan yang tinggi berbanding di kawasan bandar.

Misalnya di daerah Mualim telah merekodkan peningkatan peratusan peningkatan tahunan tertinggi iaitu 451.9 peratus iaitu daripada 27 kes kepada 149 kes bagi tempoh sama.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut diminta mengulas lanjut berkenaan kes virus zika yang dilaporkan telah mencatatkan satu kes kematian di Manjung baru-baru ini.

Kata Sivanesan kes virus tersebut masih lagi terkawal namun beliau turut kesal atas sambutan kempen memerangi demam denggi yang masih kurang mendapat sambutan masyarakat setempat di kebanyakan kawasan.

Beliau menyeru agar orang ramai dapat turut bersama-sama dalam program gotong royong dan menjaga kebersihan di persekitaran masing-masing bagi mengekang penyakit tersebut daripada terus berleluasa.

“Kita sentiasa turun padang namun sambutan orang ramai terhadap program kita agak kurang menggalakkan. Kebiasaannya yang terlibat hanya ahli majlis, ketua kampung, wakil parti, anggota dan pegawai bomba seta jabatan kesihatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");