Berita Hari Ini

Komik Propaganda: Polis Dapatkan Pandangan Tokoh Sejarah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan pandangan pakar sejarah berhubung fakta yang terkandung dalam komik propaganda bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama’.

Menurut laporan BH Online, setakat ini sebanyak 46 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung kandungan komik berkenaan serta pengedarannya di sekolah menengah seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tindakan polis untuk mendapatkan pakar atau tokoh sejarah adalah bagi membantu siasatan berhubung kesahihan maklumat dalam komik berkenaan.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti tokoh sejarah yang akan bekerjasama dengan pegawai penyiasat kita dalam mendapatkan kebenaran fakta komik itu serta nasihat daripada tokoh-tokoh lain.

“Pihak polis juga pada masa sama sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan sama ada mereka memberikan kebenaran pencetakan untuk pengeluaran komik berkenaan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, Isnin lalu, pihaknya juga sudah membuat lawatan ke sebuah kilang pencetakan di Shah Alam, yang dipercayai menjadi lokasi cetak komik berkenaan selain merakam percakapan dua saksi dari kilang yang sama.

“Kita turut membuat permohonan kepada Perpustakaan Negara untuk menyemak kebenaran permohonan pengeluaran buku ‘International Standard Book Number’ (ISBN) dalam usaha membantu melengkapkan siasatan.

“Hari ini, pihak polis juga sedang menjalankan proses rakaman percakapan terhadap pelukis komik terbabit dikenali sebagai ‘Tomato’, penulis buku berkenaan iaitu Dr Hew Kuan Yau serta penaja mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan proses siasatan dijangka mengambil masa berikutan banyak lagi keterangan yang perlu diperoleh sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menegaskan bahawa komik propaganda politik itu tidak pernah mendapat kelulusan daripada kementeriannya untuk pengedaran ke sekolah di bawah kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");