Berita Hari Ini

Kongres Maruah Melayu Gesa Wajib Tulisan Khat Dalam Subjek Bahasa Melayu

SHAH ALAM: Kongres Maruah Melayu menerusi 15 resolusi kluster budaya menggesa Putrajaya mewajibkan tulisan jawi dan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu di semua peringkat sistem pendidikan negara.

Pembentang resolusi kluster budaya, Muhammad Zaim Rosli dari Universiti Putra Malaysia menggesa kerajaan memastikan hanya tulisan jawi dan rumi digunakan untuk semua urusan rasmi kerajaan.

Katanya, kerajaan turut digesa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melarang tulisan jawi atau menyalahgunakannya untuk tujuan mengelirukan orang ramai, serta mereka yang mencampuri urusan agama Islam, seperti mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, kongres itu turut menggesa kerajaan menolak anasir luar yang membawa dan menyebarkan ideologi serta budaya hidup songsang bertentangan ajaran Islam dan peradaban Melayu.

“Mengambil tindakan tegas untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam sistem kerajaan dilaksanakan di semua peringkat.

“Meminda Akta Pendidikan 1996 bagi memastikan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu di peringkat sekolah rendah dan menengah serta menjamin penggunaan bahasa Melayu yang lebih dominan di peringkat pengajian tinggi.”

Zaim berkata, kongres itu turut mencadangkan kerajaan memberi peruntukan khas kepada pihak yang ingin mengadakan aktiviti dan penyelidikan memanfaatkan tulisan jawi.

Katanya, kerajaan turut digesa meminda Akta Kebangsaan 1963 dan 1967 bagi memastikan hanya bahasa Melayu digunakan dalam urusan rasmi seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan perlu memastikan syarat lantikan awam termasuk calon mendapat kepujian dalam bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Membentuk jawatankuasa Kabinet bagi melaksanakan penguatkuasaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan 1967 lebih berkesan.

“Menggesa resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 diangkat sebagai dasar nasional.

“Memastikan semua pihak menghormati simbol negara yang melambangkan patriotisme Malaysia, iaitu Jalur Gemilang, bendera negeri, lagu Negaraku dan negeri dengan menghukum pihak yang ingkar mematuhi undang-undang sedia ada.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");