Berita Hari Ini

Kongres Maruah Melayu Syor Sekolah Satu Aliran

SHAH ALAM: Kerajaan perlu terus komited kepada agenda memperkasakan sekolah kebangsaan dan pada masa sama memansuhkan sistem sekolah vernakular kerana ia tidak memupuk perpaduan yang sepatutnya di negara ini.

Perkara itu adalah antara pembentangan untuk resolusi Kluster Pendidikan, di Kongres Maruah Melayu, di Stadium Malawati di sini, hari ini.

Ia dibentangkan mahasiswa Pendidikan Jasmani, Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim.

Katanya, hanya sekolah satu aliran saja yang dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi masa depan yang bakal mewarisi negara ini.

“Jika kita lihat isu berkaitan mengenai sekolah vernakular, sebenarnya ia tidak dapat menyatukan kaum untuk membentuk perpaduan.

“Di setiap sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, mereka menggunakan bahasa pengantar berbeza.

“Oleh sebab itu resolusi ini mahu pemansuhan sekolah vernakular dalam tempoh enam tahun, ini bertepatan kerana pendidikan telah dikenal pasti sebagai satu kunci utama kepada alat penyatuan perpaduan,” katanya.

Nurul Fatin Aqilah berkata, sekolah satu aliran boleh dilakukan dalam tempoh enam tahun sahaja jika kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular.

“Gunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada tahun 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya, sehingga 2026. Menjelang tahun 2026, semua sekolah menjadi satu aliran,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga digesa menambah 100 peratus biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera dari kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Nurul Fatin berkata, kerajaan juga perlu mengembalikan pemberian biasiswa kecil negeri, Yayasan Negeri, biasiswa RISDA, FELDA dan FELCRA kepada pelajar dari keluarga B40 di semua peringkat sekolah dan universiti.

“Tabung biasiswa mahasiswa diwujudkan bagi menyelesaikan masalah yuran pendaftaran kemasukan bagi orang Melayu dan Bumiputera yang ada masalah kewangan.,” katanya.

Beliau berkata, resolusi itu turut mencadangkan Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ‘dipulangkan’ kepada anak Melayu dan Bumiputera melalui sistem penggredan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui gred A,B,C dan D bukannya A+ atau A- seperti diamalkan pada masa ini.

Selain itu, beliau berkata, PETRONAS dan Bank Rakyat juga harus mengkhususkan pemberian biasiswa mereka kepada orang Melayu dan Bumiputera berpendapatan rendah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");