Berita Hari Ini

KPM Nafi Tamat Bayaran BITK Pembantu Tadbir Di Perak

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan pemberhentian Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) kepada 1,084 pembantu tadbir (perkeranian/operasi) yang menjalankan tugas kewangan di sekolah di Perak.

Kementerian itu dalam kenyataan menegaskan pembantu tadbir yang melaksanakan tugas pengurusan kewangan masih layak dipertimbangkan menerima insentif itu berdasarkan surat makluman bertarikh 30 Sept mengenai Pelaksanaan Permohonan BITK seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019.

“Kementerian Pendidikan mendapati terdapat salah faham sebilangan Jabatan Pendidikan Negeri terhadap Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019 mengenai Bayaran Insentif Tugas Kewangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Semua Jabatan Pendidikan Negeri/Bahagian perlu melaksanakan pembayaran Bayaran Insentif Tugas Kewangan itu kepada semua pegawai yang layak selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2019,” menurut kenyataan itu, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Kelmarin, Bernama melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, beliau menerima aduan berhubung bayaran BITK yang ditamatkan tanpa notis kepada pembantu tadbir di sekolah di Perak.

Berdasarkan aduan itu, Azih menjelaskan penamatan pemberian elaun sejumlah RM40 itu hanya disedari sewaktu kemasukan gaji Oktober baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");