Berita Hari Ini

Kumpulan Pewaris Mahu Jumpa Menteri Selesai Isu Kampung Baru

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pemilik-pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru (Pewaris) mahu satu pertemuan diadakan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci mengenai situasi sebenar berhubung penjualan tanah di Kampung Baru.

Setiausaha Pewaris Zainuddin Ismail berkata kerajaan sewajarnya mengambil kira pendapat pemilik tanah dan bukan hanya melalui maklumat daripada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang diperolehi hanya daripada kajian soal selidik.

“Itu yang saya kata tadi, kerajaan tidak refer pada penduduk. Dia dengar sebelah pihak, bila dengar sebelah pihak, maklumat pun tak betul lah. Kami sendiri pun terperanjat dengan maklumat tu.

“Itu sebab kami betul-betul mahu pertemuan hati ke hati bersama menteri supaya kami boleh membuat pencerahan segala maklumat yang tidak betul ini dan meredakan ketegangan pada peringkat bawahan,” katanya pada sidang media Pewaris di sini hari ini, lapor Bernama.

Beliau menegaskan dakwaan bahawa kira-kira 90 peratus pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi pada 2 Okt lepas adalah tidak mewakili keseluruhan pemilik tanah berkenaan.

Pada 2 Okt lepas, Bernama melaporkan Khalid berkata PKB telah menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu dan daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi.

Khalid semalam bagaimanapun menjelaskan bahawa 90 peratus yang dimaksudkan adalah pemilik yang bersetuju menjual dan bersetuju dengan Projek Pembangunan Kampung Baru itu, tetapi mahukan harga yang lebih tinggi.

Kumpulan Pewaris dalam pada itu turut mencadangkan kerajaan mengaplikasi ‘Model Usaha Bersama’ bagi membangunkan semula Kampung Baru melalui penglibatan pemilik tanah, kerajaan dan pemaju.

“Ini penting agar ketiga-ketiga pemain utama pembangunan itu boleh membuat ‘check and balance’ (semak dan imbang) untuk mengelakkan sebarang penyelewengan dan penipuan di samping dapat memberi keyakinan kepada pihak bank menyediakan kemudahan pinjaman,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");