Berita Hari Ini

Larangan Alkohol Kawal Pemandu Mabuk Tak Selesai Masalah, Kata Pakar

PETALING JAYA: Seorang perunding keselamatan jalan raya mempersoalkan cadangan exco Pulau Pinang untuk mengenakan larangan penggunaan alkohol bagi mengawal pemandu mabuk, mengatakan ia mungkin tidak membantu menangani masalah itu.

Karen Goonting memberitahu FMT menguatkuasakan larangan itu mungkin sukar.

“Pertama, anda boleh dapatkan alkohol di kedai serbaneka yang ada di mana-mana, atau di kedai kopi.

“Orang ramai juga minum di pesta dan semasa perayaan. Bagaimana anda menguatkuasakan larangan itu?”

Cadangan ahli majlis eksekutif Pulau Pinang, Afif Bahardin dibuat susulan kematian pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang dilanggar pemandu mabuk minggu lalu.

Afif berkata larangan penggunaan alkohol akan melihat mereka yang minum arak atau mabuk di khalayak ramai ketika itu berdepan denda berat.

Beliau merujuk bandar Nelson di New Zealand di mana minuman alkohol dilarang di lokasi tertentu antara 9 malam dan 7 pagi.

Bagaimanapun, Goonting berkata penyelesaian terbaik adalah menguatkuasakan peraturan sedia ada terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ia tidak berfungsi sekarang kerana orang ramai percaya peraturan tidak dikuatkuasakan, jadi mereka tidak akan ditangkap.

“Apabila orang mula percaya mereka tidak boleh lari apabila mabuk ketika memandu, atau terlalu berisiko untuk mencubanya, maka ia dapat dibendung.”

Namun beliau mengingatkan pembangunan minda sedemikian akan mengambil masa dan sumber, dengan pemeriksaan dan penguatkuasaan yang berterusan dan konsisten.

Kemudian, katanya, orang ramai akan mula mempertimbangkan untuk mengambil teksi atau menggunakan perkhidmatan e-hailing apabila mengambil minuman keras.

Beliau berkata pemikiran ini dapat dilihat di negara lain di mana mengupah pemandu atau memanggil teksi adalah sebahagian daripada budaya.

“Tetapi ini mengambil masa beberapa dekad dan melampaui penguatkuasaan. Terdapat keperluan pendidikan juga.”

Beliau berkata pub dan restoran yang menyediakan alkohol juga boleh menjadi tempat untuk mempromosikan budaya minuman yang lebih selamat dengan menasihati orang ramai tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

Perunding pengangkutan Goh Bok Yen berkata beliau mengalu-alukan penalti berat untuk memandu mabuk, termasuk membatalkan lesen memandu.

Bagaimanapun, beliau berkata larangan penggunaan alkohol mungkin merupakan langkah yang melampau.

“Daripada melihat isu ini dari satu aspek, kita perlu melihat gambaran yang lebih besar,” katanya.

“Selain pemandu mabuk, kita juga mempunyai pemandu yang memandu secara melulu dan laju tanpa mengambil kira pengguna jalan raya yang lain, dan mereka yang mengalami masalah emosi seperti pembuli jalan raya.

“Orang-orang ini juga menyebabkan kemalangan, dan mereka tidak semestinya mabuk.”

Goh menggesa pihak berkuasa mengeluarkan statistik dan penyelidikan mengenai punca kemalangan di negara ini, mengatakan memandu secara semberono mungkin menyumbang lebih kepada kemalangan berbanding memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau juga berkata langkah seterusnya meningkatkan penguatkuasaan peraturan sedia ada, sambil menambah ia juga akan menangani masalah pemandu yang memandu secara melulu memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");