Sukan Hari Ini

LTdL Ke Sabah, Sarawak Selepas 22 Tahun

PUTRAJAYA – Perlumbaan jelajah berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) akan kembali semula ke Sabah dan Sarawak selepas 23 tahun pada edisi 2020 dengan status perlumbaan diubah kepada siri profesional yang baharu diperkenalkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Jelajah kali ke-25 tahun depan itu turut menyaksikan perlumbaan tersebut dipanjangkan kepada 10 peringkat berbanding lapan sebelum ini dengan kali terakhir di Sabah dan Sarawak diadakan pada edisi kedua pada 1997.

Berikutan masalah logistik dan kos penganjuran yang lebih tinggi, laluan di Sabah dan Sarawak tidak lagi diadakan dalam siri perlumbaan tertua Asia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Human Voyage Sdn Bhd., Datuk Ahmad Mustafa, berkata, susulan laluan di Sabah dan Sarawak itu melibatkan tambahan kos, pihaknya, selaku penganjur, telah membuat perancangan lebih awal dan rapi untuk edisi yang akan mencapai usia jubli perak itu.

Beliau berkata peringkat pertama akan bermula di Kota Kinabalu dikuti peringkat kedua di Kuching sebelum kembali ke Semenanjung Malaysia dengan peringkat ketiga dari Kuala Terengganu ke Kertih.

Peringkat keempat pula dari Temerloh ke KLCC atau Putrajaya diikuti KLCC atau Putrajaya ke Genting Highlands, Kuala Kubu Bharu-Ipoh, Taiping- Pulau Pinang, Bagan-Alor Setar dan dua peringkat terakhir di Pulau Langkawi.

“Semua laluan masih di peringkat perancangan awal dan kita akan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan negeri masing-masing sebelum laluan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk LTdL 2020 di Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini, lapor Bernama.

Ahmad berkata pelancaran LTdL 2020 dijangka pada hujung bulan depan .

Mengenai status baharu perlumbaan sebagai siri profesional, beliau berkata pihaknya akan berusaha memenuhi kriteria UCI untuk penyertaan sekurang-kurangnya enam pasukan WorldTeams dan mengharapkan dapat membawa masuk 10 pasukan dengan status berkenaan.

Di samping itu, katanya, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa saluran televisyen sukan terkemuka antarabangsa seperti Eurosport, Fox Sport Asia dan ESPN untuk membuat liputan secara langsung LTdL 2020 yang dijadual dari 6 hingga 15 Feb tahun depan.

Pada 27 Sept lalu, Kongres UCI di Harrogate, England, memutuskan musim baharu 2020 perlumbaan peringkat kedua selepas Jelajah Dunia dikenali Hors Class (HC) diubah kepada ProSeries (siri profesional) dengan LTdL antara empat perlumbaan jelajah di Asia mendapat status baharu tersebut.

Tiga perlumbaan lain di Asia ialah Jelajah Oman dan dua perlumbaan di China, Jelajah Tasik Qinghai dan Jelajah Hainan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");