Sukan Hari Ini

Luar Biasa Jika Liverpool Tak Baham United

LIVERPOOL akan bertandang ke Old Trafford, esok untuk bertemu Manchester United dalam aksi dianggap sebagai pertembungan dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang paling dinantikan majoriti komuniti peminat bola sepak dunia.

Memetik laporan BH Online, anak buah Jurgen Klopp bakal hadir dilaman keramat The Red Devils dengan prestasi cemerlang apabila memenangi semua lapan aksi setakat ini sekali gus gah menggunguli liga. Ini berbeza dengan skuad Ole Gunnar Solskjaer yang bergelut dengan prestasi sehingga terperosok di tangga ke-12.

Jika bersandarkan kepada prestasi semasa ini, rasanya ramai yang meramalkan keputusan pertembungan dua musuh tradisi ini akan memihak kepada The Reds. Malah mungkin ada yang lebih berani dengan hanya meramalkan jaringan kemenangan pelawat kerana yakin United sudah pun tewas sebelum beraksi.

Bagi penulis ia bukanlah mengejutkan, malah turut setuju dengan ramalan mereka. Tiada sebab untuk menafikan Liverpool mampu mengutip mata penuh di Old Trafford ketika lawannya itu sudah tidak segagah seperti ketika dibimbing Sir AlexFerguson.

Memang benar, perlawanan ini dinantikan ramai terutama di kalangan penyokong setia kedua-dua pasukan. Sejarah panjang permusuhan dua kelab gergasi ini tidak pernah padam, malah semakin marak sejak Liverpool tidak pernah menjuarai liga yang sudah pun memasuki tahun ke-30.

Sesuatu pasti mengenai perlawanan ini, kemenangan akan meletakkan Liverpool terus gah di persada selain rekod baharu tanpa kalah. Sebaliknya, bagi United, ia akan meletakkan mereka dalam krisis berterusan dan kemungkinan besar turut menjejaskan kedudukan Solksjaer.

Adakah kemungkinan United mampu melakukan kejutan? Saya tidak menolaknya. Ini kerana ia adalah perlawanan `dua musuh ketat’ yang selalunya sengit dengan kedua-dua pasukan lazimnya akan tampil luar biasa demi peminat setia mereka di seluruh dunia.

Seri? Mungkin juga. Sebelum ini keputusan aksi dua seteru ketat ini selalu dikaitkan dengan pertaruhan. Mungkin juga berlaku lagi kali ini. Tapi kalau United mampu mengatasi Liverpool aksi ini, ia sudah pasti luar biasa ketika tonggak mereka seperti Paul Pogba dan David de Gea sah tidak akan beraksi.

Sementara itu, kekalahan 0-1 kepada Wolves dua minggu lalu, jelas memberi tamparan hebat buat Manchester City bagi mengekalkan kejuaraan musim ini. Keputusan itu menyaksikan anak buah Pep Guardiola kini ketinggalan lapan mata di belakang Liverpool.

Dengan perbezaan mata yang agak tinggi itu, kelihatannya The Citizens berdepan tugasan berat untuk merapati The Reds biarpun aksi EPL sebenarnya hanya baru memasuki lapan perlawanan. Ini adalah kekalahan kedua The Citizens, selepas ditundukkan Norwich City, 2-3. City bertemu Crystal Palace minggu ini.

Chelsea pula dijangka tiada masalah mengenepikan Newcastle untuk terus merapati City dan Liverpool, manakala pasukan bergelut, Tottenham Hotspur menyambut kunjungan Watford yang dianggap sebagai aksi penebus kecewa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");