KUALA LUMPUR: Demi kilauan emas, atlet sukan esktrem negara Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Redho’, redha akan pengorbanan dilakukan menjelang temasya Sukan SEA Filipina 2019, bulan depan.
Kurang meluangkan masa bersama keluarga dan berbelanja besar sehingga mencecah RM20,000 dalam tempoh persiapan membuktikan betapa komitednya anak jati Pantai Remis, Perak itu memburu emas pertama sejak kali terakhir membuat penampilan di Sukan SEA 2011 di Jakarta.
Mat Redho menyumbang pingat perak dalam sukan mendaki tembok tiruan pada penyertaan sulung di temasya dwi tahunan itu dan selepas lapan tahun, kini beliau kembali beraksi dalam acara baharu, sukan berhalangan dalam menjayakan misi meraih emas pertamanya.
“Untuk Sukan SEA saya rasa setakat ini telah berbelanja duit sendiri dalam RM20,000 sebab selebihnya banyak dibantu pihak penaja. Semua itu ditampung menggunakan duit hasil kejayaan saya dalam kejohanan disertai sebelum ini.
“Saya memang simpan duit kemenangan itu dan tidak membelanjakannya sesuka hati sebab saya suka sukan ini, saya minat dan apa yang saya lakukan adalah untuk negara.
“Selain itu, saya korbankan kerjaya serta masa bersama keluarga dan ia pengorbanan paling besar,” katanya.
Nama Mat Redho tular di laman sosial selepas menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi Ninja League Challenge (NCL) 2018 dengan menewaskan juara American Ninja Warrior, Jake Murray.
Mengulas lanjut, bekas Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua itu berkata beliau hanya menikmati masa berkualiti bersama keluarga pada hujung minggu, namun waktu berharga itu turut dihabiskan di venue latihannya.
“Sekarang ni setiap hari saya keluar pagi dan balik pada waktu Maghrib…hanya bila hujan saya akan balik sedikit lewat sebab terpaksa berteduh dan ia membuatkan saya rasa kesian bila memikirkan keluarga di rumah.
“Waktu yang betul-betul saya dapat bersama keluarga adalah pada hujung minggu itu pun di tempat latihan saya. Masa bersama keluarga saya adalah di tempat latihan dan sambil tu saya dedahkan anak dan isteri saya dengan sukan ini dan mereka gembira,” jelasnya.
Beliau mengakui sedikit terkilan terhadap bentuk sokongan dan kemudahan yang diberikan oleh pihak berwajib kepada atlet sukan berhalangan menjelang Sukan SEA itu nanti.
“Kami menerima akses terhad di sini…cuma dapat kemudahan dari segi penggunaan gimnasium dan pemeriksaan kesihatan sementara yang lain seperti mendapatkan khidmat fisioterapi dan rehabilitasi dari doktor semua kena tanggung sendiri.
“Jadi saya rasa macam terkilan juga kerana sebagai atlet yang berkorbankan segala-galanya kami tidak dapat apa-apa bahkan perlu keluarkan duit sendiri untuk makan, pengangkutan, latihan dan sebagainya,” tambah beliau.
Bagaimanapun, ‘Mat Redho’ berkata semua yang ditempuhi menjelang Sukan SEA 2019 itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang mengharumkan nama negara meskipun menyedari ia satu tugas yang berat selain terpaksa mengawal tekanan yang tinggi.
“Tekanan paling tinggi adalah untuk tidak membuat sebarang kesilapan walaupun sedikit sebab kepantasan begitu penting dalam acara ini.
“Cabaran akan datang dari peserta tuan rumah kerana mereka sudah tahu ‘layout’ halangan dan turut berpeluang berlatih,” katanya.
Mat Redho menyertai tiga acara – 100 meter (m), 400m dan 4x100m berganti-ganti dan menyasarkan sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas. – BERNAMA