Berita Hari Ini

Menteri Nafi Kabinet Luluskan Pameran Artifak Firaun Mesir Untuk Tahun Melawat Malaysia 2020

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menafikan sebarang bentuk kelulusan Kabinet bagi membawa pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II, dan Tutankhamun, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, ketika menyangkal perkara berkenaan, berkata inisiatif membawa artifak Firaun Mesir itu perlu membabitkan perbincangan bersama pihak atasan antara Kerajaan Malaysia dan Mesir, namun ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Perkara ini (membawa pameran artifak Firaun) tidak pernah diangkat dalam mesyuarat Jemaah Menteri mahupun dibincang dalam kementerian.

“Sepatutnya Timbalan Menteri (Muhammad Bakhtiar Wan Chik) tidak boleh melakukan publisiti seperti itu.

“Saya tidak tahu dari mana Timbalan Menteri mendapat kelulusan bercakap perkara itu, dan saya tidak pasti dari mana dana mahu dipungut. Adakah daripada dana awam atau apa?

“Saya tidak pernah dibawa berbincang soal itu, mungkin pendapat beliau sahaja,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Pertemuan Bersama Pemain Sektor Pelancongan Sarawak Bersempena Mini Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020, di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online hari ini.

Mohamaddin berkata, usaha membawa masuk artifak Firaun juga bukannya mudah kerana selain perlu mendapat kebenaran Kerajaan Mesir, ia juga membabitkan insurans yang mungkin mencapai ratusan juta ringgit.

Semalam, Muhammad Bakhtiar, berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merancang menganjurkan pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II dan Tutankhamun yang lebih dikenali sebagai Raja Tut tahun hadapan.

Katanya, setiap jelajah pameran membabitkan Ramses II dan Raja Tut selalunya menerima kunjungan pelawat yang tinggi, justeru sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 bertujuan menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.

Ketika ditanya sama Mohamaddin bersetuju atau tidak dengan cadangan membawa masuk pameran Firaun, beliau berkata ini bukan soal setuju atau sebaliknya.

“Bukan perkara tidak setuju atau tidak. Bagaimana saya mahu bersetuju kalau tidak dibawa ke pengetahuan saya, kalau mahu saya tolak, saya mahu tolak apa? katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengusaha sektor pelancongan di Sarawak digalakkan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan geran khas pelancongan dengan kadar siling maksimum berjumlah RM200,000.

“Mereka boleh mengemukakan permohonan secara atas talian. Kita mahu membantu mereka memantapkan perkhidmatan sedia ada sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");