Berita Hari Ini

Moga Cahaya Deepavali Sinari Penyatuan Rakyat – TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap cahaya Deepavali akan menyinari nilai-nilai yang mengukuhkan hubungan dan penyatuan rakyat di negara ini.

Katanya semangat kekitaan serta nilai-nilai murni seperti sikap bertolak ansur, hormat-menghormati, tolong-menolong, memahami perasaan dan sensitiviti kaum lain termasuk amalan kunjung-mengunjung dapat menjadi teladan di mata dunia malah perlu sentiasa dipertahankan.

“Seperti perayaan utama lain, rakyat Malaysia yang bukan beragama Hindu akan berkumpul dan berkongsi hari yang istimewa ini dengan melawat dan menjamu selera di rumah kawan-kawan yang menyambut perayaan ini.

“Ramai yang akur hubungan antara kaum pada masa dulu dan kini berbeza tetapi saya yakin hubungan ini akan dipereratkan di dalam era Malaysia Baru ini,” katanya dalam perutusan Deepavali, yang akan disambut pada 27 Oktober ini.

Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata Deepavali turut memberi sinar hidup kepada mereka yang kurang bernasib baik agar tidak ada kumpulan dipinggirkan.

“Keprihatinan adalah ‘trademark’ kita. Kita adalah rakyat Malaysia dan itu adalah perkara yang patut dibanggakan,” katanya.

Wan Azizah turut mengingatkan agar ibu bapa dan keluarga tersayang terus disanjung selain sentiasa berhati-hati di jalan raya.

“Dengan jamuan enak yang dihidangkan, jangan lupa untuk kurangkan makanan dan minuman yang manis.

“Deepavali ini, marilah kita menghapuskan kegelapan dan membawa cahaya ke dalam kehidupan kami. Selamat Hari Deepavali. (Vaalvil irul niinggi Oli peruga, iniya Deepavali nal vaalthugal),” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");