Berita Hari Ini

Najib Nasihat Tak Perlu Penilaian Kedua Aset PetroSaudi, Kata Saksi

NAJIB Razak menasihatkan supaya tidak menjalankan proses penilaian kedua ke atas aset bernilai AS$2.2 bilion (RM9.2 bilion) yang didakwa milik rakan usaha sama PetroSaudi International, saksi pada perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri itu.

Bekas ketua pegawai ekesekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib berkata penilaian kedua bagi hartanah minyak dan gas PetroSaudi di Argentina dan Turkmenistan akan beri “masalah”.

Saksi itu berkata beliau bertemu Najib pada 16 Oktober 2009 untuk meminta nasihatnya sebagai pengerusi lembaga penasihat, selepas AS$1 bilion didakwa dibayar ke PetroSaudi Holdings (Caymans) Ltd dan Good Star Ltd, yang kemudian didedahkan penyiasat adalah syarikat palsu.

Penilaian pertama dijalankan oleh firma penilai bebas, Edward Morse, yang dibayar AS$100,000 bagi khidmat itu sebelum perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International ditandatangani pada 25 September 2009.

Lembaga pengarah 1MDB membangkitkan perkara itu pada 3 Oktober 2009, sehari selepas AS$1 bilion dipindahkan menerusi dua bayaran.

“Najib nasihatkan penilaian kedua beri lebih banyak masalah.

“Saya percaya beliau tidak mahu penilaian kedua dijalankan,” kata Shahrol ketika disoal abalas peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee kemudian berkata Najib bukan betul-betul mengarahkan lembaga tidak menjalankan penilaian kedua tetapi hanya sekadar memberi pendapat.

Shahrol berkata pendapat Najib tetap penting.

“Secara logiknya, apabila perdana menteri beri pendapatnya, saya rasa banyak orang akan fikir ia mesti dilakukan,” katanya.

Lima hari selepas perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International ditandatangani, AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd manakala AS$700 juta kepada Good Star Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");